LEGASI KELUARGA PENDIDIK

16 guru dalam satu keluarga besar

“Cikgu... Sebut sahaja perkataan itu semua akan menoleh serentak kerana gelaran tersebut sudah sebati dalam keluarga besar kami.”

Demikian kata seorang pesara guru, Ab Aziz Ab Rahman, 73, dari Selising dekat Pasir Puteh, Kelantan yang berkongsi kisah 16 ahli keluarganya bergelar pendidik.

Bermula dengan Ab Aziz sendiri sebagai abang sulung yang mendirikan rumah tangga bersama seorang guru, Azizah Ismail, 71, dua daripada enam anaknya dan seorang menantu perempuan turut mengikut jejak langkah menjadi guru.

Lebih membanggakan, tiga adiknya iaitu Samsudin, 70; Maimun, 68 dan Anwar, 59 turut memilih kerjaya yang sama.

Isteri Samsudin, Salma Mohamed, 62, dan tiga daripada empat anak Maimun juga merupakan guru selain empat lagi anak saudara.

Pendidik dalam keluarga Ab Azizi terdiri daripada isterinya, anak, adik-beradik, ipar dan anak saudara.

Pendidik dalam keluarga Ab Azizi terdiri daripada isterinya, anak, adik-beradik, ipar dan anak saudara.

Bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa itu berkata, beliau dan adik-beradiknya memilih kerjaya mulia di sisi masyarakat hasil dorongan arwah ayah mereka yang hanya bekerja sebagai tukang jahit serta wakil pos.

“Ayah kami aktif dalam pengurusan sekolah rendah dan menengah walaupun kerjayanya sederhana. Daripada ayahlah kami mendapat inspirasi untuk terus menimba ilmu dan menyumbang bakti sebagai pendidik.

“Pada asalnya saya bekerja dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) namun dorongan ayah membuatkan saya menukar haluan menjadi guru,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Ab Aziz, melihat kecekalan beliau menjadi pencetus semangat kepada adik-adiknya yang lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.

Menurutnya, pengalaman mendidik pelajar era 80-an dan 90-an sangat berbeza berbanding hari ini.

“Dulu, guru bukan sahaja mengajar tetapi mendidik dari segi disiplin dan akhlak. Pelajar dibentuk menjadi insan berguna. Kalau nakal, kita boleh jentik, suruh cabut rumput atau cuci longkang.

“Hari ini, semuanya terhad, guru pula yang berisiko disaman,” jelasnya.

Namun kata beliau, cabaran semasa tidak sesekali melemahkan semangat keluarganya untuk terus berbakti dalam bidang pendidikan.

Ujarnya, setiap kali berkumpul terutama ketika musim perayaan atau kenduri, topik perbualan mereka tidak lari daripada isu pendidikan.

Ab Aziz (tiga dari kanan)

Ab Aziz (tiga dari kanan)

“Sebagai orang lama, kami berkongsi pengalaman dengan guru baharu dalam keluarga. Kami tidak pernah memaksa anak cucu menyambung legasi. Tetapi jika ada yang berminat, kami amat mengalu-alukan.

“Menjadi guru adalah satu kerjaya yang mulia, bukan sekadar mendidik tetapi membentuk insan berguna untuk agama, bangsa dan negara,” katanya yang bertugas di sekolah sama sepanjang perkhidmatannya.

Tujuh beradik ikut jejak bapa

Semangat dan pengorbanan seorang bapa sebagai guru menjadi inspirasi kepada tujuh daripada sembilan beradik untuk mengikut jejak langkah dalam dunia pendidikan.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, Ahmad Rizal Md Isa, 55, berkata, legasi itu bukan sekadar profesion tetapi satu warisan penuh nilai murni dan pengorbanan tanpa sebarang paksaan.

Ahmad Rizal menunjukkan gambar arwah bapanya, Md Isa yang merupakan seorang guru.

Ahmad Rizal menunjukkan gambar arwah bapanya, Md Isa yang merupakan seorang guru.

Menurutnya, arwah bapa mereka, Md Isa Ngah merupakan insan yang banyak berusaha membantu dan menguruskan permohonan anak-anak memasuki institusi perguruan.

“Kami dibesarkan dalam suasana yang menghargai dan memahami betapa pentingnya bidang pendidikan.

"Arwah ayah tidak pernah memaksa, tapi kami sendiri terpanggil untuk ikut jejak ayah,” katanya ketika ditemui di pejabat PPD Kuantan, Pahang.

Ujar anak kedua daripada sembilan beradik itu, abang sulungnya, Ahmad Zamri, berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang

Adik-beradik lain, Ahmad Zahirudin sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging dan Nor Azlin menjawat Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Cherok Paloh manakala Ahmad Imran (Guru Besar SK Mercong Jaya).

Selain itu, Munirah di SK Simpang Pelangai dan Ahmad Bakhtiar sebagai Penolong Kanan Pendidikan Khas di Pekan.

Tambah Ahmad Rizal, perjalanan hidupnya bertambah seri apabila dipertemukan jodoh dengan Rozi Abdul Hadis, 49, yang juga seorang pendidik.

“Anak sulung kami mewarisi minat dalam bidang perguruan dan kini sedang menjalani praktikal sebagai guru di SMK Maran,” katanya.

Dunia perguruan Ahmad Rizal bermula di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada awal 1990-an dengan mengikuti Pengajian Sekolah Menengah, opsyen Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB).

Ujarnya, semangat kental dan ketekunan arwah bapa membantu beliau menamatkan pengajian sebelum bertugas di guru di SMK Maran 2 pada 1993.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1998 dan menyambung ke peringkat sarjana di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ahmad Rizal berkata, walaupun arwah ayahnya jarang meluahkan rasa bangga secara lisan, namun kegembiraan itu jelas terpancar setiap kali melihat kejayaan anak-anak dalam bidang pendidikan.

“Arwah ayah bukan seorang yang banyak berkata-kata, saya tahu jauh di sudut hatinya ada (rasa) gembira dan bangga bila kami memilih jalan yang sama sepertinya," katanya lagi.

‘Belajarlah rajin-rajin, sambung cita-cita mak’

Demi merealisasikan impian ibu yang tidak kesampaian untuk bergelar guru telah membakar semangat anaknya agar berusaha keras sehingga berjaya melahirkan generasi pendidik dalam keluarga tersebut.

Guru Bahasa Inggeris, Raja Rosmawati Raja Omar, 54, berkata, minatnya dalam bidang pendidikan lahir adalah hasil dorongan ibu, Puteh Mamat, 75.

"Mak selalu pesan, ‘belajarlah rajin-rajin, sambung cita-cita mak jadi cikgu’. Pesanan itu saya pegang sampai ke hari ini.

“Saya anak kedua daripada tujuh beradik dan hanya saya seorang jadi cikgu.

"Tapi saya gembira sebab tiga daripada empat anak saya dan dua menantu ikut jejak sama" kata anak kelahiran Kampung Bukit Petiti itu.

Raja Rosmawati telah berkhidmat selama 27 tahun bermula sebagai guru sandaran di SK Kampung Wa pada 1997 dan seterusnya di SK Pulau Manis, SK Teluk Pasu, SK Kampung Tengah, SK Bukit Petiti serta SK Rengas Bekah.

"Saya masuk IPG (Institut Pendidikan Guru) dulu, kemudian sambung ke ITM (kini UiTM) sebelum bergelar seorang guru.

"Saya tidak pernah paksa anak-anak jadi guru, sebaliknya lebih banyak memberi beri nasihat dan dorongan," katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Mazubir Ngah, 57.

Raja Rosmawati (duduk, dua dari kanan) bersama ahli keluarganya.

Raja Rosmawati (duduk, dua dari kanan) bersama ahli keluarganya.

Anak sulung mereka, Nizatul Nurain, 32, kini mengajar di SMK Tembila, Besut manakala anak kedua, Nafiuddin Naim, 28, bertugas di SK Abang Aing, Sarawak bersama isteri.

Anak ketiga, Nuwairah Nurawadah, 26, mengajar di SJKC Padang Gros, Lenggong, Melaka dan berkahwin dengan seorang guru.

"Anak bongsu saya, Nukman Nur Adam, 22, baru menamatkan diploma dan bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

"Saya tak pasti lagi apa cita-cita dan perancangan dia. Cuma saya harap agar dia dapat bekerja dalam bidang yang diminati dan bersesuaian.

“Saya juga berharap mudah-mudahan legasi guru ini akan diwarisi cucu-cucu pula nanti,"katanya yang kini memiliki tiga cucu.

Enam beradik jiwa pendidik

Ramai yang mempunyai adik-beradik bekerja sebagai pendidik sama ada menjadi cikgu di sekolah atau pun pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Buat seorang pesara guru, Mohd Zakaria Yusof, 69, enam daripada tujuh beradiknya memilih kerjaya tersebut sementara seorang lagi dalam bidang korporat.

Mohd Zakaria bersama isteri, Fathiyah Abu Kassim

Mohd Zakaria bersama isteri, Fathiyah Abu Kassim

Malah salah seorang daripada enam anaknya turut mengikut jejak langkah sama dan kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Assunta, Petaling Jaya.

Berkongsi kisah keluarga, Mohd Zakaria berkata, beliau memulakan perkhidmatan sebagai seorang guru di SMK Tengku Mahmud Sungai Mati, Muar, Johor pada 1978.

Kemudian bertukar ke Maktab Sultan Abu Bakar Johor Bahru pada 1989 dan jawatan terakhirnya sebagai Guru Kanan Panitia.

“Saya merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda (Pendidikan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ketika bergelar guru dahulu, saya mengajar hampir semua mata pelajaran.

“Bagaimanapun, tiga mata pelajaran iaitu Sains, Biologi dan Matematik merupakan paling kerap dipertanggungjawabkan kepada saya untuk mengajar.

“Tapi alhamdulillah, saya dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan baik,” katanya.

Tambah Mohd Zakaria, pengalaman mengajar di kawasan luar bandar dan bandar memberinya perspektif berbeza mengenai penghargaan masyarakat terhadap guru.

Katanya, perkara itu agak ketara terutama ketika bergelar seorang guru pada era 70-an dan 80-an lalu.

“Di kampung-kampung misalnya, masyarakat sangat hormat guru kerana ketika itu tak ramai golongan profesional.

“Tetapi apabila berpindah ke bandar, peranan guru kelihatan kurang dominan kerana masyarakat di bandar didominasi oleh kerjaya lain,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana (Pengurusan Pendidikan) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kembar cikgu, suami pun cikgu

Minat yang mendalam dan yakin bahawa ilmu adalah kunci kejayaan dalam mengubah nasib keluarga membuatkan dua beradik kembar jatuh cinta kepada dunia pendidikan.

Razah Dollah dan Mazah yang berusia 52 tahun itu kini sudah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai guru.

Lebih manis, suami mereka masing-masing juga merupakan pendidik.

Razah dan suami, Abdulazim

Razah dan suami, Abdulazim

“Alhamdulillah, takdir juga telah mempertemukan jodoh saya iaitu seorang pendidik, Abdulazim Abdul Hamid, 57, dan kami sama-sama menabur bakti dalam dunia pendidikan.

“Mungkin disebabkan keserasian, kembar saya, Mazah turut bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang kerjayanya dalam bidang sama, Nasri Baharom, 55,” kata Razah yang menatap di Baling, Kedah.

Bercerita lanjut Razah berkata, adik bongsu mereka, Shamsiah, 40, turut menceburi bidang pendidikan dan kini sedang bertugas di Pantai Timur.

“Alhamdulillah setakat ini kami berlima dalam keluarga merupakan pendidik dan minat kami disokong keluarga tanpa berbelah bahagi,” ujarnya.

Mazah dan suami, Nasri Baharom

Mazah dan suami, Nasri Baharom

LEBIH BANYAK KISAH LAIN

Kehebatan Wirawati Celoreng Bomba

Dalam dunia pekerjaan yang penuh cabaran dan risiko, anggota bomba wanita membuktikan bahawa keberanian dan ketabahan tidak mengenal jantina.

Cabaran gen z bergelar ibu muda

Mereka ditakdirkan bertemu jodoh di usia yang dianggap mentah dan menyambut tangisan cahaya mata pertama ketika umur belum pun mencecah 23 tahun.

Gaji tak cukup tampung kos sara hidup

Kisah suka duka individu berusia satu abad yang masih sihat menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang. Mereka menyaksikan dan melalui perubahan zaman.

Jerat hutang beli dulu bayar kemudian

Kadar penggunaan skim BNPL di Malaysia semakin meningkat kerana mudah diluluskan dengan jumlah pengguna mencapai 10.3 juta orang pada 2024.

Legasi Keluarga Sang Saka Biru

Tiga generasi keluarga mereka mengikut jejak kerjaya yang sama demi berkhidmat kepada tanah air, daripada datuk, anak dan cucu hinggalah menantu.

Rahsia moyang hidup lebih 100 tahun

Kisah suka duka individu berusia satu abad yang masih sihat menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang. Mereka menyaksikan dan melalui perubahan zaman dengan berdepan pelbagai cabaran.

Trend mati sendirian membimbangkan

Fenomena ramai warga emas di Jepun mati keseorangan dikhuatiri melanda Malaysia susulan trend hidup bersendirian dan tidak berkahwin dalam kalangan rakyat berusia 30 tahun ke atas.

Derita anak-anak hidap kanser

Pada 2024 , kadar kes kanser dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah ialah enam kes bagi setiap 100,000 penduduk dan sebanyak 1,000 kes kanser kanak-kanak baharu dilaporkan.

Tak sanggup tunggu pencen 60 tahun

Tekanan kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau menjadi antara punca utama jururawat hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding menunggu sehingga umur 60 tahun.

Suri rumah poket tebal

Mereka ini hanyalah suri rumah namun bijak merebut peluang meningkatkan taraf hidup dengan menambah pendapatan diri dan keluarga.

Tanahku tiba-tiba milik orang

Penipuan pindah milik tanah persendirian semakin meruncing dengan kewujudan sindiket yang beroperasi menggunakan taktik licik dan mengeksploitasi kelemahan sistem pengurusan tanah.

Sinar Karangkraf Sdn Bhd
Lot 1 Jalan Renggam 15/5
Off Persiaran Selangor
Seksyen 15
40000 Shah Alam
Selangor, Malaysia
03-51017388
editorsh@sinarharian.com.my

Diterbitkan oleh Strategi Kandungan dan Perancang Media pada Ogos 2025