Ancaman 8 jenis kanser

Pesakit kanser di Malaysia merekodkan lebih 800 kanak-kanak yang berumur bawah 15 tahun didiagnosis dengan penyakit itu setiap tahun atau secara puratanya dua kanak-kanak sehari.

Pada 2024 sahaja, kadar kes kanser dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah ialah enam kes bagi setiap 100,000 penduduk dan sebanyak 1,000 kes kanser kanak-kanak baharu dilaporkan.

Terdapat lapan jenis kanser yang biasa berlaku pada kanak-kanak di negara ini iaitu leukemia; limfoma; tumor otak dan saraf tunjang; tulang; neuroblastoma (saraf simpatik); Wilms’ Tumor (buah pinggang); retinoblastoma (mata) serta rhabdomyosarcoma (otot).

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) giat memperluas dan menambah baik fasiliti kemudahan kesihatan sedia ada dalam usaha memberikan rawatan terbaik kepada pesakit kanser, khususnya kanak-kanak.

Tindakan itu perlu bagi meningkatkan kualiti hidup golongan tersebut yang sedang mendapatkan rawatan selain memastikan masyarakat celik terhadap pendidikan berkaitan kanser.

Ini kerana, pengesanan awal dan rawatan yang tepat adalah penting untuk meningkatkan peluang pemulihan dan dengan kemajuan dalam rawatan, lebih 70 peratus kanak-kanak yang menghidap kanser di Malaysia berjaya sembuh.

Masih ada ibu bapa takut lakukan saringan awal kanser untuk anak

Sementara itu, menurut Pakar Kanak-Kanak Hematologi dan Onkologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Madya Dr Norsarwany Mohamad, segelintir ibu bapa ragu-ragu untuk melakukan saringan awal bagi mengesan kanser dalam kalangan anak mereka termasuk pengambilan sumsum tulang atau air tulang belakang.

“Ramai ibu bapa bimbang ujian itu akan mendatangkan kesan negatif kepada anak mereka. Ada juga yang takut dengan kos rawatan, sedangkan hospital mempunyai mekanisme bantuan untuk pesakit kurang berkemampuan,” kata beliau.

Ujar Dr Norsarwany, stigma terhadap kanser turut menjadi cabaran besar dalam meyakinkan ibu bapa kerana menganggap penyakit itu bermaksud ‘hukuman mati’ dan rawatan­ kemoterapi sangat menyakitkan.

Hakikatnya, rawatan kanser semakin maju dengan kadar kesembuhan lebih tinggi jika dikesan lebih awal malah ubat-ubatan yang digunakan dapat mengurangkan kesan sampingan teruk.

Jelas beliau, kelewatan mengenal pasti simptom boleh menyebabkan penyakit itu merebak ke seluruh tubuh yang hanya akan menyukarkan lagi proses rawatan dan mengurangkan kadar kesembuhan.

Perjuangan melawan kanser

Kelenjar 50 sen membesar saiz bola ping pong

Bermula dengan kelenjar kecil di lengan kiri, Muhammad Adib Saqeef, 3, kini bertarung dengan kanser otot.

Anak bongsu kepada Sabariah Ahmad, 35, dan Mohamad Nazri Said, 40, itu disahkan menghidap rhabdomyosarcoma with nodal metastasis iaitu sejenis kanser yang menyerang otot.

Pada peringkat awal, ketulan di lengannya hanya sebesar duit syiling 50 sen sebelum membesar seperti bola pingpong dalam tempoh empat bulan.

Ibunya yang berkongsi kisah kanak-kanak tersebut berkata, dia dan suami membawa Adib ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas beberapa malam menangis kesakitan sehingga sukar tidur sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Selepas disahkan hidap kanser, chemo port dipasang di bahagian dada kanan,” ujar Sabariah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Haji Mahamud dekat Kota Sarang Semut, Kedah.


Kanak-kanak itu perlu menjalani lapan kemoterapi dengan sesi terakhir pada 12 Februari lalu.

Kini impian mereka untuk melihat anaknya kembali sihat mulai cerah apabila kelenjar tersebut semakin kecut.

Selain anak bongsu menghidap kanser, kehidupan keluarga ini turut diuji dengan dua lagi anak iaitu Muhammad Adib Safwan, 12, dan Muhammad Adib Niyaz, 9, mengalami penyakit genetik atau duchenne muscular dystrophy.

“Doktor cakap penyakit ini tidak ada ubat. Mereka mewarisi genetik keluarga saya kerana abang dan anak saudara juga hidap penyakit ini dan meninggal dunia pada usia muda.

“Ada makan ubat tapi cuma dapat melambatkan proses kerosakan­ otot sahaja,” kata Sabariah.

Tambahnya, apabila dia menjaga Adib Saqeef di wad HPP, suami akan menguruskan persekolahan­ dua anak di sekolah pendidikan khas dan menjaga di rumah kerana memerlukan perhatian penuh.

Sementara itu, anak sulung mereka, Muhammad Adib Naufal telah pergi buat selama-lamanya, 12 tahun lalu akibat komplikasi jantung ketika berusia tiga tahun.

Berat badan susut sehingga kurang 30 kilogram

Belum sembuh duka kehilangan anak sulung akibat kanser pangkal otak, sekali lagi sepasang suami isteri diuji apabila anak kedua mereka pula disahkan menghidap kanser jenis left adrenal corticol carcinoma.

Kanser yang jarang dijumpai itu menyebabkan Muhammad Akief Mohd Sahir, 11, menjalani empat pembedahan utama bagi membuang sel kanser di bahagian buah pinggang, hati dan paru-paru.

Kini Akief terpaksa berulang alik dari Kampung Balik Bukit, Bukit Merah ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi mendapatkan rawatan susulan pada setiap bulan.

Menurut ibunya, Siti Aishah Osman, 39, pada awal anaknya itu disangkakan mengalami sawan sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping pada penghujung 2021.

Pemeriksaan lanjut di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur mengesahkan kanak-kanak tersebut didiagnosis Sindrom Li Fraumeni dan kanser adrenal tahap dua.

Selepas sel kanser dikesan menerusi Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan), doktor terus menjalankan pembedahan pertama bagi membuang 300 gram adrenal pada bahagian atas buah pinggang.

Akief berjaya bebas kanser namun setahun kemudian iaitu pada 2023, penyakit sama kembali menyerang sehingga merebak ke hati dan paru-paru, sekaligus dikategorikan sebagai tahap empat.

“Sejak itu beberapa siri pembedahan dilakukan dan menyebabkan fizikal Akief yang dulu berisi, sekarang susut tak sampai 30 kilogram susulan rawatan­ dan kemoterapi berterusan di HRPB," kata Siti Aishah.

Kehidupan keluarga ini berubah apabila wad pediatrik menjadi rumah kedua dan bapanya, Mohd Sahir Napiah, 39, terpaksa berhenti kerja kerana kerap cuti.

Dengan sumber kewangan yang terhad, ibunya bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak manakala bapa mengambil alih peranan menjaga Akief yang terpaksa tinggal berbulan-bulan di hospital.

Ibu saudara turut membantu menjaga adik bongsu, Saif Aydan yang berusia enam tahun.

Kanser yang sangat aktif menyebabkan kesihatan Akief merosot dan sering menahan sakit sehingga memaksa dia meluakan persekolahan selama dua tahun.

“Sebak hati ini mengenangkan Akief menerima nasib sama seperti kakaknya yang menghidap kanser pangkal otak (meninggal dunia pada Januari 2018).

“Saya akan terus berdoa, mengharapkan keajaiban untuk Akief kembali sihat dan boleh bersekolah seperti kanak-kanak lain,” - ibu

Perut membuncit dituduh mengandung

“Anak saya tidak mengandung,” luah Siti Nazirah Razali, 35, apabila anaknya, Nor Ariana Mohd Shahrul Afendi, 12, sering dipandang sinis kerana perut yang membuncit seakan wanita hamil.

Hakikatnya, anak sulung daripada dua beradik itu menghidap penyakit Mixed Germ Cell Tumour iaitu ketumbuhan yang mengandungi sel rambut dan gigi sehingga menyebabkan perut kelihatan sedemikian.

Menurut Siti Nazirah, penyakit tersebut dikesan ketika anaknya berusia sembilan tahun dengan simptom awal di bahagian perut mengeras tanpa rasa sakit.

“Sehinggalah satu hari dia mengadu sakit perut seperti memulas. Kami bawa ke klinik dan apabila diperiksa didapati dia menghidapi sembelit,” katanya ketika di rumahnya di Kampung Pauh Badang dekat Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ujar suri rumah itu, episod duka bermula apabila Nor Ariana sekali lagi diserang sakit perut yang memulas dan sukar untuk membuang air besar.

Pemeriksaan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) mengesahkan anaknya menghidap kanser.

Kanak-kanak tersebut menjalani enam sesi kemoterapi ditemani ayahnya, Mohd Shahrul Afendi Mat, 38, sementara ibu menjaga adik bongsu berusia lapan bulan di rumah.

"Suami hanya kerja buruh dan hampir kena buang kerja sebab selalu ambil cuti panjang," katanya.

Perut Nor Ariana masih membesar sehingga ke hari ini dan meskipun tidak merasa sakit, berat badannya menyusut selain mengalami masalah tulang belakang.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi nombor akaun 0300141100042052 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Mohd Shahrul Afendi Mat.

Hariz tidak boleh lihat lagi

Muhammad Hariz Iman hilang penglihatan secara kekal akibat kanser saraf atau neuroblastoma tahap empat.

Muhammad Hariz Iman hilang penglihatan secara kekal akibat kanser saraf atau neuroblastoma tahap empat.

Tiada apa yang paling menyedihkan selain melihat anak yang disayangi menahan sakit, lebih-lebih lagi ketika usia masih kecil.

Itu kenyataan pahit yang ditempuhi pasangan Mohd Herman Rusli, 38, dan Norshahida Md Nayan, 38, apabila anak lelaki berusia dua tahun disahkan menghidap kanser pada 5 Ogos tahun lalu.

Mohd Herman yang berkerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) berkata, kanser menyebabkan Muhammad Hariz Iman hilang penglihatan secara kekal.

“Dahulu dia bermain macam kanak-kanak normal lain, boleh nampak dan pegang mainan. Tetapi sekarang saya tak mampu tengok dia bermain walaupun hanya pandang dari jauh. Sampai sekarang saya masih menitiskan air mata mengenangkan nasib dia.

“Saya tak boleh tenung mata dia ­lama-lama walaupun ketika dia celik atau tidur,” katanya yang menetap di Lembah Klang.

Mohd Herman berkata, dia mengharapkan keajaiban agar kedua-dua mata anaknya itu sembuh seperti sediakala dan bebas daripada kanser.

“Kanser berada di dalam mata, kami tak nampak. Tapi kehilangan penglihatan­ ini, kami nampak. Pada awalnya, anak saya tak mahu berjalan dan nak berdiri pun takut, tetapi selepas tujuh bulan ini, nampak ada peningkatan,” katanya.
Bapa

Ditanya mengenai simptom awal yang dikesan, Mohd Herman berkata, dia bersama isterinya perasan terdapat satu garisan biru dan bengkak kecil pada batang hidung, antara kedua-dua belah mata anaknya.

Selain itu, Hariz muntah selepas minum susu dan akan merapatkan mata ke skrin telefon. Namun mereka menganggap ia perkara biasa malah doktor di klinik hanya memberikan ubat mengesyaki anaknya terjatuh.

Dua minggu kemudian, bengkak pada hidung semakin membesar dan ketika meminta untuk makan kek, Hariz dilihat seperti tercari-cari dan meraba-raba kek di hadapannya.

Keadaan itu menyebabkan ibu bapanya mula meyedari bahawa anak mereka telah kehilangan penglihatan.

Hariz ditahan wad di sebuah hospital di Putrajaya sebelum disahkan menghidap kanser.

“Ramai ibu bapa tidak sedar anak mereka berkemungkinan menghidap kanser kerana simptom awal sering dianggap sakit biasa”
Pakar Kanak-Kanak Hematologi dan Onkologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Madya Dr Norsarwany Mohamad

Jelas Dr Norsarwany, faktor ekonomi dan kekurangan akses kepada kepakaran juga menjadi punca utama tahap kesedaran masyarakat masih rendah.

Selain itu, mungkin kerana tahap ekonomi yang lebih rendah, kurangnya pakar di kawasan berkenaan dan kekangan masa bagi aktiviti kesedaran serta pendidikan kesihatan menyebabkan masyarakat kurang peka.

Menurutnya, leukemia merupakan kanser kanak-kanak yang paling kerap berlaku dan kanser otak dengan simptom seperti sakit kepala serta muntah, kebiasaan dianggap sebagai sakit ringan.

Kanak-kanak terbabit hanya akan dirujuk untuk ujian lanjut seperti imbasan CT atau MRI jika mereka mengalami simptom lebih serius seperti sawan.

Malah kanser lain seperti kanser kelenjar, buah pinggang, hati atau tulang juga sukar dikesan kerana ibu bapa tidak menyedari perubahan pada tubuh anak mereka.

Jika kanser dikesan lewat, ia boleh merebak ke seluruh tubuh dan menyukarkan rawatan. Ini mengurangkan kadar kesembuhan secara drastik.

“Jika anak anda kerap tidak sihat, jangan berlengah. Pastikan mereka menjalani pemeriksaan fizikal yang teliti dan ujian sewajarnya,” katanya.

Dr Norsarwany turut mendedahkan Malaysia masih berdepan kekurangan pakar onkologi pediatrik dengan taburan yang tidak seimbang di seluruh negara, sekali gus memberi kesan terhadap rawatan kanak-kanak yang menghidap kanser.

Kebanyakan pakar tertumpu di Lembah Klang seperti di Hospital Tunku Azizah (HTA), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Simptom Awal Kanser Pada Kanak-Kanak

Benjolan atau bengkak yang tidak hilang terutama di bahagian leher, ketiak, perut atau pangkal paha.

Lebam atau pendarahan tanpa sebab jelas. Sering berlaku di bawah kulit, gusi atau hidung berdarah.

Perut membengkak yang boleh disebabkan oleh ketumbuhan dalam perut atau organ dalaman.

Keletihan berlebihan dan pucat sebagai tanda anemia yang boleh dikaitkan dengan leukemia.

Demam berpanjangan tanpa jangkitan jelas dengan suhu badan tinggi tanpa sebab diketahui.

Penurunan berat badan mendadak disusuli hilang selera makan tanpa sebab yang jelas.

Sakit tulang atau sendi. Kanak-kanak sering mengadu sakit seperti ini di kaki atau belakang.

Sakit kepala berterusan, muntah pada waktu pagi yang mungkin menjadi tanda tumor otak.

Masalah penglihatan yang kabur, juling atau gangguan pergerakan seperti sukar berjalan.

Sinar Karangkraf Sdn Bhd
Lot 1, Jalan Renggam 15/5, Persiaran Selangor,
Seksyen 15, 40000 Shah Alam Selangor, Malaysia

03-51017388
editorsh@sinarharian.com.my

Diterbitkan oleh Strategi Kandungan dan Perancang Media pada Mac 2025