Jerat hutang beli dulu bayar kemudian

10.3 juta individu guna BNPL, hampir 50 peratus umur bawah 30 tahun

Kadar penggunaan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) di Malaysia semakin meningkat berikutan ia mudah diakses dan diluluskan oleh pihak syarikt penyedia kaedah itu.

Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, jumlah pengguna BNPL di negara ini mencapai 10.3 juta orang pada tahun lalu.

Menurut pasukan itu, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 16 peratus daripada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, hampir 50 peratus pengguna terdiri daripada mereka yang berusia bawah 30 tahun.

Dari segi keseluruhannya, peningkatan transaksi BNPL masih terkawal kerana ­pinjaman­ melalui kaedah berkenaan hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.

Sementara itu, Rang ­Undang-Undang Kredit ­Pengguna (RUUKP) dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac nanti yang bertujuan mengawal selia industri kredit di Malaysia termasuk BNPL.

Menurutnya, undang-undang baharu yang akan dikenali sebagai Akta Kredit Pengguna (AKP) itu juga bagi mempertingkatkan perlindungan terhadap pengguna kredit.

Di bawah akta tersebut, pemberi kredit bukan bank seperti syarikat yang menawarkan BNPL, pemajakan dan pemfaktoran serta pemberi perkhidmatan termasuk syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, dikehendaki mematuhi keperluan perlakuan.

Ini bagi memastikan mereka mengamalkan pemberian dan perkhidmatan kredit yang bertanggungjawab bagi melindungi pengguna.

Antara keperluan lain yang perlu dipatuhi ialah melakukan penilaian kemampuan berhutang terhadap pengguna kredit sebelum menawarkan pembiayaan; terma urus niaga tidak berat sebelah; caj atau fi yang telus dan berpatutan; serta tatacara pengutipan hutang berhemah.

Melalui rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif ini, hak pengguna kredit adalah lebih terlindung dan diperkukuh.

Sekali gus memastikan pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit bersikap adil dan profesional dalam menjalankan perniagaan mereka.

10.3 juta individu menggunakan BNPL

Hampir 50% pengguna berumur bawah 30 tahun

RUUKP akan dibentangkan di Parlimen pada Mac ini

BNPL hanya merangkumi 0.2% daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah

Ramai bakal jadi muflis jika tidak dikawal

Konsep perniagaan beli sekarang bayar kemudian (BNPL) yang semakin meluas ketika ini boleh menjadi ancaman muflis kepada masyarakat terutama golongan muda, jika tidak dikawal dengan baik.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, kaedah yang pada dasarnya bertujuan memudahkan pengguna membuat pembelian, boleh bertukar menjadi perangkap hutang.

“Konsep BNPL ini sebenarnya hampir sama dengan penggunaan kad kredit. Bezanya kad kredit ini digunakan oleh mereka yang mempunyai kadar pendapatan tertentu yang diletakkan pihak bank.

“BNPL pula semua orang boleh membeli dahulu walaupun tidak mempunyai wang yang mencukupi,” katanya.

Menurut Mohamad Fazli, trend tersebut dibimbangi akan menyebabkan orang ramai berhutang melebihi pendapatan mereka.

Malah lebih parah apabila ia menjadi budaya dalam kalangan pelajar yang belum mempunyai pendapatan­ sendiri.

'Bukan salah BNPL, tapi sikap peminjam'

Sikap peminjam menjadi faktor utama sesuatu sistem yang diperkenalkan seperti konsep beli sekarang bayar kemudian (BNPL), boleh memberi manfaat atau sebaliknya.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, kaedah BNPL secara asasnya baik seiring dengan negara yang mula bergerak ke arah dunia digital.

Namun sejauh mana sistem tersebut memberi manfaat adalah bergantung kepada pengguna itu sendiri.

Dr Mohd Faisol

Dr Mohd Faisol

Sekiranya seseorang individu menjadikan platform ini sebagai satu cara mendapatkan barangan secara cepat tanpa perlu modal dan memikirkan kemampuan pendapatan,­ maka BNPL akan memakan diri mereka sendiri.

Individu yang mempunyai sikap suka berhutang dan tiada disiplin membayar, juga bakal terperangkap dengan cara pembelian itu.

BNPL secara asasnya lebih selamat berbanding kad kredit, pinjaman peribadi atau beberapa pinjaman lain yang ditawarkan kepada pengguna di Malaysia.

Biasanya BNPL menawarkan kadar bunga sifar bagi tempoh bayaran tertentu, sedangkan kadar keuntungan dan kadar bunga bagi kad kredit dikenakan 12 hingga 18 peratus.

Mnakala pinjaman dan pembiayaan peribadi yang dikenakan oleh pihak bank pada kadar empat hingga lima peratus.

Fomca gesa kerajaan kawal pinjaman bukan bank

Kerajaan perlu mewujudkan undang-undang atau garis panduan khusus berhubung pinjaman wang yang ditawarkan oleh institusi bukan bank seperti BNPL bagi mengawal pemberian pinjaman.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, undang-undang itu membolehkan kerajaan mengawal semua caj dikenakan termasuk yang tersembunyi.

Ini kerana katanya, kemungkinan pengguna tidak memahami dan tidak jelas dengan kadar faedah atau penalti dikenakan jika berlaku kelewatan membuat pembayaran balik.

Kerajaan juga perlu mengawal selia agensi yang bertanggungjawab menyemak kontrak antara penyedia perkhidmatan BNPL dan pengguna.

Malah, jumlah kelulusan pinjaman BNPL kepada pengguna juga mesti diteliti semula supaya pengguna tidak berbelanja di luar kemampuan mereka.

Pengguna cerita pengalaman pahit guna skim ‘beli sekarang bayar kemudian’

Tertarik dengan tawaran ‘beli sekarang bayar kemudian’ (BNPL) yang disediakan platform beli-belah dalam talian, membuatkan sesetengah pengguna menghadapi masalah kewangan apabila terjebak dengan tekanan hutang.

Itulah yang dialami seorang pekerja swasta, Fatimah, 40, yang kini terpaksa menanggung hutang terkumpul sehingga RM10,000 hanya dalam tempoh dua tahun.

Menurut Fatimah, dia mula berjinak-jinak membeli menggunakan BNPL pada 2023 dan kemudian menjadi tabiat yang sukar dihentikan.

Tambahnya, kebanyakan barangan yang dibeli tidak digunakan kerana terikut dengan cara orang lain, sedangkan ia bukan satu keperluan.

“Mula-mula beli beli baju dan seluar berharga antara RM30 hingga RM50, kemudian ketagih beli barang lebih mahal walaupun tak ada duit simpanan.

“Sekarang hutang terkumpul hampir RM10,000 termasuk bayaran beli peralatan elektrik dan elektronik.

“Setiap bulan, gaji banyak habis buat bayar hutang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut ibu kepada seorang anak, Nora, 31, tabiat buruk itu bermula sejak dia masih bujang memandangkan dia tidak suka bersesak untuk membeli barang di pusat membeli-belah.

“Sekarang saya tidak lagi bekerja, tetapi hampir setiap hari ada sahaja barangan yang dipesan sampai ke rumah hingga kerap ditegur suami kerana dia yang terpaksa membayar

“Tetapi kemuncaknya adalah pada awal tahun lalu apabila suami terkejut melihat hutang terkumpul hampir RM5,000 dan ketika itu berlaku pergaduhan besar antara saya dan suami hingga kami nyaris bercerai.

“Namun, alhamdulillah perkara itu tidak terjadi kerana saya berjanji dan meminta maaf kepada suami untuk berubah dan hentikan tabiat buruk ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar universiti awam, Haris, 21, runsing memikirkan tunggakan hutang berjumlah RM2,000 akibat membeli menggunakan kaedah BNPL.

Daripada membeli barangan keperluan pembelajaran, dia akhirnya 'terbabas' dengan gajet dan aksesori yang tidak diperlukan.

“Sekarang duit poket daripada pinjaman PTPTN untuk bayar ansuran tapi belum habis lagi hutang.

"Kerana beban hutang itu juga, saya buat kerja sambilan sebagai penghantar makanan.

“Saya tidak salahkan BNPL ini kerana tabiat buruk itu berpunca daripada diri sendiri,” ujarnya.

Haris menambah, kebanyakan rakan-rakan di universitinya mempunyai hutang pembelian barang dalam talian bahkan ada sehingga RM5,000.

Transaksi BNPL
naik ketara
RM7.1 bilion

Jumlah transaksi skim pengguna ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata setakat Disember 2024, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif, majoritinya golongan berusia 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan manakala 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.

Beliau berkata, kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat juga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.

“Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL berjumlah RM2.8 bilion yang hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.

“Kadar jumlah BNPL yang tertunggak juga terkawal pada RM82.6 juta iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Amir Hamzah menegaskan Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac 2024, yang menjadi antara usaha kerajaan meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.

Beliau menjelaskan RUU Kredit Pengguna itu menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.

Ini termasuk syarikat yang menawarkan BNPL, syarikat pajakan dan pemfaktoran serta pemberi perkhidmatan kredit seperti syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, agensi pengutipan hutang dan agensi kaunseling dan pengurusan hutang.

Pemberi kredit juga dikehendaki melakukan penilaian kemampuan berhutang terhadap pengguna kredit.

Menurut Amir Hamzah, sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan.

Sinar Karangkraf Sdn Bhd
Lot 1, Jalan Renggam 15/5, Persiaran Selangor,
Seksyen 15, 40000 Shah Alam Selangor, Malaysia
03-51017388
editorsh@sinarharian.com.my

Diterbitkan oleh Strategi Kandungan dan Perancang Media pada Mac 2025.