"Hidup dalam sunyi, mati dalam sepi"

Fenomena Mati Sendirian Makin Membimbangkan

Trend tinggal sendirian

Malaysia mencatatkan kadar ketiga tertinggi di ASEAN bagi populasi yang berstatus bujang, iaitu sebanyak 44.7 peratus - PBB 2021

Fenomena lebih 40,000 warga emas di Jepun meninggal dunia keseorangan tanpa diketahui waris pada 2024 dikhuatiri boleh melanda Malaysia susulan trend hidup bersendirian kerana tidak pernah berkahwin dalam kalangan rakyat berusia 30 tahun ke atas kini mencatat angka hampir dua juta orang.

Selain warga emas dan individu sebatang kara, golongan lain yang berisiko mati sendirian ialah orang kurang upaya, gelandangan dan mereka yang mempunyai penyakit kronik atau terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Kes kematian secara bersendirian semakin kerap dilaporkan kebelakangan ini, malah di Perlis yang penduduknya tidak sampai 300,000 orang, sebanyak 80 kes seperti itu dicatatkan dari tahun 2022 hingga Ogos 2024.

Menurut Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong, individu yang memilih hidup sendirian bukan sahaja dipengaruhi oleh keputusan peribadi tetapi berkait rapat dengan perubahan sosioekonomi masyarakat.

“Ini satu angka yang tinggi. Realitinya trend tinggal bersendirian adalah satu kenyataan,” katanya.

Malaysia juga sedang menghadapi cabaran penuaan penduduk apabila dalam tempoh 15 tahun akan datang, negara ini dijangka mencapai status negara tua dengan lebih 14 peratus rakyat berumur 65 tahun ke atas.

Malaysia memerlukan satu sistem sokongan komprehensif dan berkesan untuk menampung keperluan penduduk pada usia emas mereka.

Ketersediaan negara menghadapi kemiskinan usia tua perlu merangkumi pemahaman dan keupayaan menangani kesan perubahan dalam sistem kekeluargaan masyarakat.

Menurut Dr Abdul Rahman, fenomena ini berbeza dengan negara seperti Jepun dan Eropah yang mencapai status maju sebelum berlaku peningkatan ketara populasi warga emas.

Sementara itu, statitik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2020 mencatatkan seramai 1.96 juta penduduk Malaysia berumur 30 tahun ke atas yang tidak pernah berkahwin.

Manakala seramai 3.9 juta iaitu 11.6 peratus daripada populasi negara ini merupakan individu berusia 60 tahun ke atas.

Kulit tercabut ketika mayat diangkat

Kisah menyayat hati pengakhiran hidup seorang warga emas berusia lewat 70-an apabila mangsa ditemui mati sendirian di kediamannya di Jempol, Negeri Sembilan.

Lelaki berkenaan tinggal sebatang kara dan tidak pernah berkahwin selain bergantung harap dengan jiran setempat untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut bekas Ketua Kampung Ladang Gaddes, Phuan Er Ching, jiran yang mengesyaki sesuatu selepas terhidu bau busuk dari rumah mangsa, terpaksa bertindak memecah masuk bagi mendapatkan kepastian.

"Lelaki tersebut sudah meninggal dunia dalam keadaan terbaring di lantai dan kulitnya tercabut ketika mayat diangkat,” katanya mengenang kejadian yang berlaku 10 tahun lalu.

Keadaan mayat yang sudah tidak sempurna telah menambahkan lagi kesedihan kepada mereka yang berada di lokasi kejadian.

Er Ching yang turut mengendalikan pasukan Bomba Sukarela Ladang Gaddes berkata, penduduk ditemui mati seorang diri di rumah bukan pertama kali berlaku di kawasan berkenaan.

"Sepanjang 17 tahun saya mengalas tanggungjawab sebagai ketua kampung dan pasukan bomba sukarela, banyak kes seperti ini berlaku dan terbaharu pada tahun lalu, seorang lelaki warga emas sudah dua hari meninggal dunia sendirian di rumah," katanya.

Ujar Er Ching, ada banyak sebab warga emas memilih untuk hidup sendirian terutama selepas kematian pasangan.

Alasan utama ialah masalah kesihatan yang tidak mengizinkan mereka tinggal bersama anak selain lebih selesa tinggal di rumah sendiri.

Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk lebih peka terhadap keadaan jiran-jiran yang tinggal sendirian, terutama warga emas yang mempunyai masalah kesihatan - Er Ching

Kes-kes kematian seorang diri di rumah

7 JANUARI 2025

Pesakit kencing manis kronik, S Santhekasakar, 44, ditemui mati dalam rumah yang berkunci di Kampung Boyan di Taiping, Perak.

Menurut kakak mangsa, adiknya yang tinggal seorang diri itu gagal dihubungi sejak tiga hari lalu sebelum ke rumah berkenaan bagi mendapatkan kepastian.

Mayat mangsa berjaya dibawa keluar dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taiping yang menerima panggilan pada jam 1.42 petang.

2 JANUARI 2025

Seorang lelaki bujang, Johari Musa, 49, ditemukan meninggal dunia di rumah pusaka keluarga kira-kira jam 1.30 petang di Kampung Kuala Ping dekat Kuala Berang, Terengganu.

Mangsa yang tinggal bersendirian di rumahu usang itu mempunyai penyakit kronik termasuk tuberkulosis atau tibi dan kencing manis.

Sebelum mayat ditemukan, jiran memaklumkan terdengar suara batuk yang kuat dari rumah lelaki itu pada jam 2 pagi.

24 DISEMBER 2024

Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas kerusi malas dalam bilik air di sebuah rumah di Ipoh Garden South, Perak.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.13 pagi selepas rakan mangsa menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.

Rakan mangsa mengesyaki sesuatu apabila mendapati bilik air rumah mangsa dalam keadaan pintu berkunci.

1 DISEMBER 2024

Orang ramai menemukan seorang warga emas berusia 67 tahun dengan kesan tikaman di ruang tamu rumah di Taman Bahagia dekat Senai, Johor.

Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak polis pada jam 11.42 pagi apabila melihat mangsa berada dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Hasil pemeriksaan polis mendapati mangsa telah meninggal dunia dan mendapati terdapat kesan tikaman dipercayai menggunakan objek tajam.

18 OKTOBER 2024

Penduduk bertindak menghubungi pihak bomba selepas mengesyaki sesuatu telah berlaku kepada seorang warga emas yang didapati tidak keluar rumah sejak beberapa hari.

Bomba dan Penyelamat Slim River menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 malam dan anggota polis yang berada di lokasi mendapati rumah tersebut dalam keadaan berkunci.

Setelah pintu berjaya dibuka, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

16 SEPTEMBER 2024

Seorang pereka dalaman dilaporkan maut dengan 20 kesan tikaman ditemui pada anggota badannya di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara dekat Petaling Jaya, Selangor.

Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1 pagi daripada orang awam yang juga jiran mangsa.

Saksi memberitahu terdengar suara pergaduhan kira-kira pukul 11 malam dan hasil pemeriksaan polis menemukan mangsa meninggal dunia akibat ditikam.

Terkilan gagal tunai janji jenguk ibu

Seorang pemuda berkongsi kisah rasa terkilan apabila ibu angkatnya meninggal dunia seorang diri dalam rumah sewa di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 2019 sewaktu dia merantau ke Pulau Pinang untuk bekerja.

Menurut pemuda yang mahu dikenali sebagai N, 39, ketika menerima panggilan mengenai kematian ibunya itu, dia berada di tempat kerja di Butterworth.

Ibunya ditemui terbaring di atas katil bilik tidur dalam keadaan sudah tidak bernyawa dan punca kematian akibat serangan jantung semasa tidur.

"Memang sedih sangat sebab hampir tiga bulan saya tak balik sedangkan pernah janji akan selalu balik jenguk ibu. Sampai sekarang masih rasa sedih dan terkilan sebab gagal tunaikan janji ," katanya.

N kehilangan ibu bapa kandung dalam kemalangan jalan raya ketika masih kecil sebelum dibesarkan oleh ibu bapa angkat. Namun bapa angkatnya meninggal dunia semasa dia berusia lima tahun.

Sebelum ini ibu angkatnya pernah bekerja sebagai tukang masak namun terpaksa berhenti disebabkan masalah kesihatan dan lebih selesa tinggal di Kuala Lumpur meskipun N mengajak tinggal bersama di Pulau Pinang.

Sebenarnya ibu berat hati untuk izinkan saya ke Pulau Pinang, tetapi berubah fikiran apabila saya berjanji akan selalu pulang menjenguknya - N

Cinta ditolak, warga emas bawa hati lara hingga ke usia senja

Che Ahmad Dollah, 83, seorang warga emas yang memilih untuk hidup sendirian setelah cintanya ditolak ketika muda.

Kecewa dengan wanita dicintai memilih untuk berkahwin dengan lelaki lain, dia membawa diri sebagai gelandangan dengan menumpang tidur di masjid sekitar Kota Bharu.

Untuk meneruskan kelangsungan hidup, anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Temangan, Machang itu mengambil upah mencuci pinggan mangkuk.

Walaupun sudah lanjut usia, dia tidak menghidap sebarang penyakit namun akibat terjatuh di bilik air baru-baru ini, warga emas tersebut mengalami patah paha kanan dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

Che Ahmad kini menumpang di sebuah bangsal yang dibina oleh seorang individu berhati mulia dikenali sebagai Hafiz Ibarhim.

Walaupun hanya bangsal tetapi cukup menggembirakan dan bersyukur kerana dekat dengan kubur arwah kakak. Jika saya meninggal dunia nanti, tolong kebumikan berhampiran kubur arwah - Che Ahmad

Mungkin sudah ditakdirkan hidup membujang

Seorang wanita juga penjawat awam berusia 47 tahun dengan nama panggilan Along, memilih untuk hidup sendirian selepas rasa selesa dengan kesibukan kerja yang membuatkan dirinya tidak terfikir mencari jodoh.

Meskipun bahagi hidup seorang diri namun dia tidak menolak jika ada jodoh pada masa akan datang. Menurutnya, selain sibuk dengan urusan kerja, buat masa ini dia juga gemar meluangkan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Along telah membuat persediaan untuk menghadapi hari tua kerana sedar cabaran dan dugaan hidup sendirian terutama pada usia warga emas kelak.

Apa pun bukan saja-saja pilih hidup membujang hingga tua, takdir yang menentukan selain faktor persekitaran, kata Along yang tinggal di Temerloh, Pahang.

Azlan harap tak mati sendirian di rumah

Azlan, 49, yang kehilangan ibu tercinta akibat kanser payu dara 10 tahun lalu, kini sudah terbiasa hidup sendirian di rumah yang dihuni sejak kecil.

Azlan yang tidak berkahwin itua menghabiskan masa dengan hobi menjala ikan bersama rakan-rakan. Setiap malam, dia juga meluangkan masa di surau dan bersama jemaah di kampungnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Walaupun begitu, dia turut bimbang jika suatu hari nanti berlaku perkara yang tidak diingini seperti meninggal dunia sendirian di rumah.

Sunyi memang ada, tetapi saya sudah biasa. Harap-harap tak berlaku perkara tidak diingini (mati sendirian di rumah)- Azlan

Omar tak nak susahkan lapan anak

Omar Abdul Rahman, 73, yang pernah menjadi penulis menggunakan nama pena Omara Rahman kini memilih untuk menghabiskan sisa hidup bersendirian di sebuah teratak usang di Kampung Mengabang Telipot, Terengganu.

Omar menulis berpuluh-puluh cerpen dan sajak serta beberapa novel diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan syarikat tempatan.

Dia juga pernah menghasilkan skrip drama bagi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan muncul di banyak pentas sajak.

Omar tinggal bersendirian selepas berpisah dengan isterinya sejak 10 tahun lalu. Walaupun lapan anak serinag mengajaknya untuk tinggal bersama namun dia lebih memilih untuk tinggal seorang diri.

Saya lebih selesa bersendirian dan tidak mahu susahkan sesiapa - Omar

Pantau ibu bapa di kampung melalui CCTV

Dengan ramai warga emas yang tinggal sendirian, kebimbangan terhadap keselamatan mereka mendorong anak-anak untuk mencari alternatif bagi memantau keadaan dari jauh.

Khairil Fithry, 40, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, dia menggunakan sistem kamera CCTV untuk memantau keadaan ibunya yang tinggal seorang diri di kampung.

Dia juga sering menghubungi jiran terdekat untuk memastikan ibunya sentiasa dalam keadaan baik dan sihat.

CCTV ibarat mata dan telinga dan alat memantau dengan lebih jelas jika berlaku kecemasan.

Sebagai anak yang bekerja jauh, saya juga dapat melepaskan kerinduan untuk menatap wajah ibu bapa di rumah memandangkan tidak mudah untuk saya berulang-alik setiap hari - Pegawai Tadbir, Norzita Nanyan, 43

“Ayah ada strok dan pernah diserang sawan. Bagi mengelakkan perkara seperti ini terjadi tanpa pengawasan sesiapa, saya memilih untuk meletakkan CCTV di ruang tamu berdekatan dengan katil ayah.

“Jika berlaku sebarang kecemasan, sistem akan terus memberi notifikasi pada telefon pintar saya dan langkah awal dapat segera diambil” - Guru, Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi Suhardi, 29

“Aplikasi Life360 membantu memantau lokasi ibu bapa sekiranya tidak dapat dihubungi malah akan terus menghantar notifikasi tempat terakhir yang dikunjungi mereka.

“Kita tidak tahu nasib yang akan berlaku, jadi ini adalah satu alternatif lain yang boleh digunakan untuk mengawasi antara satu sama lain” - Pekerja Swasta, Muhamad Ikhmal Amirullah Rosli, 27

Tiada undang-undang untuk waris dipertanggungjawabkan

Menurut peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, kematian seseorang secara bersendirian tidak bermakna menunjukkan berlakunya pengabaian oleh waris.

Jelas beliau, setiap kes perlu dinilai berdasarkan fakta dan keadaan khusus. Oleh itu tidak wajar untuk meletakkan tanggungjawab secara automatik kepada waris tanpa bukti berkaitan kesalahan jenayah.

"Tidak ada dan tiada keperluan untuk wujudkan peruntukan undang-undang yang secara langsung meletakkan tanggungjawab kepada waris jika seseorang meninggal dunia sendirian,"katanya.

Seorang lagi peguam, Mohd Fadhly Yaacob berpandangan, undang-undang tidak mampu menyelesaikan masalah utama apabila melibatkan kes individu yang meninggal dunia sendirian.

Kata beliau, apabila seseorang meninggal dunia tanpa waris atau saudara terdekat, timbul persoalan mengenai pihak yang perlu menanggung kos pengurusan jenazah tersebut.

“Bagi saya, dalam situasi ini, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah tersebut. Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khusus untuk kos pengurusan jenazah bagi kes-kes mati sendirian," ujarnya.

Kerajaan perlu proaktif dalam menangani isu berkenaan demi memastikan kebajikan golongan yang berisiko meninggal dunia sendirian terbela, lebih-lebih lagi ketika Malaysia sedang menuju sebagai negara tua.

GOLONGAN BERISIKO MATI SENDIRIAN

Warga emas
Pesakit kronik
Individu bujang
Penagih dadah
Gelandangan
Orang kurang upaya (OKU)