SURI RUMAH

POKET TEBAL

Mereka ini hanyalah suri rumah, namun bijak merebut peluang meningkatkan taraf hidup dan menambah pendapatan keluarga, sekali gus menyumbang kepada aliran ekonomi negara.

Sempena Hari Wanita tahun ini, Sinar Harian mengupas kisah beberapa suri rumah cekal yang melibatkan diri dalam pekerjaan sampingan sehingga ada yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Trend suri rumah bekerja secara bebas semakin meningkat

Jumlah suri rumah yang teribat dalam pekerjaan bebas sebagai pendapatan sampingan semakin meningkat ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr Sabariah Baharun berkata, hampir 50 peratus wanita yang pernah bekerja sebelum ini berhenti kerana faktor keluarga, manakala hanya 15 peratus atas pilihan sendiri.

Ujarnya, ruang kerja dalam talian seperti e-dagang, pemasaran digital dan penulisan menyebabkan ramai suri rumah melakukan pendapatan sampingan.

“Saya melihat adanya platform yang memudahkan suri rumah mencari pekerjaan fleksibel atau wanita dapat kembali semula bekerja seperti usaha yang dijalankan oleh Talent Corp.

“Kerajaan turut menyediakan insentif dan kemudahan untuk menggalakkan penyertaan suri rumah dalam sektor ekonomi,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Sabariah, pendapatan sampingan itu boleh membantu meningkatkan taraf hidup keluarga dengan aliran pendapatan tambahan sebagai simpanan kecemasan, pendidikan dan rawatan kesihatan.

Menurutnya, ia juga memberi kebebasan kewangan kepada suri rumah untuk membeli keperluan atau memenuhi kehendak peribadi mereka, sekali gus meningkatkan kesejahteraan psikologi dan emosi.

Suri rumah pakar IT raih RM1,600 untuk setiap pelanggan

Keberanian golongan wanita yang bergelar suri rumah menerokai kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), telah membuka peluang menjana pendapatan lumayan tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Itu yang dibuktikan oleh salah seorang suri rumah, Siti Nurazlinee Azmi, 40, di Putrajaya apabila berjaya memanfaatkan peluang tersebut.

Selepas meletak jawatan sebagai eksekutif pemasaran sebuah syarikat swasta pada 2020, dia meneruskan minat dalam bidang penulisan dan kini menjadi freelancer menulis kandungan laman sesawang serta pengurusan media sosial dari rumah.

Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Siti Nurazlinee berkata, perjalanan kerjayanya dalam bidang digital bermula apabila seorang kenalan menawarkan peluang menguruskan media sosial perniagaan.

“Saya mula menguruskan media sosial bagi perniagaan ini berdasarkan persetujuan bersama melibatkan aspek jadual siaran, kandungan, pengiklanan serta bayaran.

“Dari situ saya mula menarik minat pelanggan lain termasuk pemilik akaun media sosial dalam bidang insurans dan beberapa syarikat guaman untuk menulis kandungan laman web mereka.

“Selain itu, saya juga pernah menghasilkan kandungan untuk aplikasi membeli-belah dalam talian bagi perniagaan kraf kanak-kanak,” katanya kepada Sinar Harian.

Meskipun nampak mudah, Siti Nurazline mengakui cabaran utama ialah menghasilkan idea segar dan menyesuaikan kandungan mengikut keperluan setiap pelanggan yang menginginkan konsep berbeza.

blue sofa with white and blue towel

Sehubungan itu, dia mengambil inisiatif menyertai kelas tambahan dalam bidang content creation dan content writing bagi meningkatkan kemahiran.

Berkat usaha dan kesungguhan jitu, Siti Nurazlinee kini mampu mengendalikan beberapa akaun media sosial pelanggan secara serentak.

“Salah satu kelebihan bekerja sebagai freelancer dari rumah ialah fleksibiliti masa. Dengan suami saya yang turut bekerja dalam bidang freelance pengiklanan, kami saling membantu buat tugasan seperti penulisan iklan dan terjemahan.

“Saya bersyukur kerana urusan keluarga terutama anak-anak dapat diatur dengan baik. Bekerja dari rumah memberikan saya kebebasan mengurus masa dengan lebih efisien tanpa perlu mengorbankan pendapatan,” tambahnya.

Bagaimanapun ujar Siti Nurazlinee, pendapatan sebagai freelancer tidak mempunyai gaji bulanan tetap, malah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO juga perlu diuruskan sendiri.

Dia memperoleh bayaran RM900 hingga RM1,600 sebulan bagi setiap pelanggan bergantung kepada jumlah media sosial yang diuruskan, waktu siaran, jenis kandungan dan keperluan tambahan lain.

women's sunglasses and black bag with watch and iPhone 6
turned on MacBook Pro beside white ceramic mug
A woman is drawing on a tablet with a pencil

Suri rumah cipta aplikasi sendiri, tarik lebih 4,000 pelanggan

Melihat kepada keperluan melipat dan menggosok pakaian, ia memberi idea kepada suri rumah untuk membangunkan satu aplikasi dalam talian yang menawarkan perkhidmatan tersebut.

Lebih membanggakan, aplikasi dicipta Nur Khalida Mohd Khalid Khan, 32, itu kini mempunyai lebih 40,000 pengguna sejak dilancarkan pada tahun 2022 sehingga mampu menjana pendapatan sehingga RM1 juta, selain menarik pelaburan baharu dari Singapura.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, pihaknya turut menerima kontrak pelbagai sektor seperti hotel, sekolah, klinik, salun, restoran dan kilang.

“Kita bukan sahaja meluaskan perkhidmatan di Singapura, tetapi akan melatih lebih ramai suri rumah di sana untuk berdikari mencari sumber kewangan.

“Menerusi sokongan pelabur dan permintaan yang semakin meningkat, jenama tempatan ini berpotensi menjadi platform di peringkat global dalam industri perkhidmatan,” katanya yang tinggal Bandar Saujana Putra, Selangor.

Menurut Nur Khalida, dia dipilih menyertai program anjuran MadCash dengan kerjasama Peran­­tis di bawah Jabatan Pem­­­­bangunan Wanita bagi membentangkan perniagaan mereka kepada pelabur luar negara.

Nur Khalida berkata, aplikasi miliknya mendapat perhatian kerana turut memberi peluang kepada suri rumah lain menjana pendapatan secara fleksibel.

“Walaupun hanya sebagai tukang lipat baju, kita masih mampu meran­cakkan ekonomi dan mem­bantu wanita lain mendapat lebih masa bersama keluarga mereka.

“Sebagai suri rumah, saya juga ada cabaran membahagikan masa antara keluarga dan perniagaan, namun keluarga tetap keuta­maan.

“Siang fokus pada kerja rumah dan hanya waktu malam uruskan perniagaan. Di rumah, saya adalah seorang isteri dan ibu, tetapi di luar saya bangga bergelar usahawan,” ujarnya.

Mampu raih RM10,000 sebulan

Status sebagai suri rumah bukan ha-langan buat Nur Atikah Halim Bashah, 32, melakukan kerja sambilan sebagai penterjemah bahasa untuk pelanggan dari luar negara.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia menawarkan perkhidmatan tersebut sejak 2015 selepas berhenti kerja di sebuah pusat sains pada awal usia perkahwinannya.

“Saya cari kerja yang boleh dilakukan dari rumah. Langkah pertama saya sertai kursus penterjemahan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) secara dalam talian.

“Itulah titik permulaan dan peluang pertama, saya terima tawaran kerja daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Walaupun bayaran tak banyak tetapi beri keyakinan untuk saya terus serius.

“Kini sudah hampir 10 tahun saya buat kerja ini. Pendapatan bulanan dalam lingkungan RM6,000 hingga RM7,000 malah, pada bulan tertentu boleh mencecah lebih RM10,000,” katanya.

Ujar anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu, selain pelanggan di Malaysia, khidmat terjemahan bahasa yang ditawarkan turut menerima permintaan dari Brunei, Australia dan Singapura.

Menurut Atikah, berurusan dengan pelanggan dari luar negara bukanlah mudah, namun bayaran setimpal diterimanya menjadikan usaha tersebut berbaloi.

“Pada awalnya agak sukar terutama isu perbezaan zon waktu dan kadangkala saya perlu bekerja pada hujung minggu, cuti umum atau ketika hari raya.

“Jika pelanggan minta terjemahan disiapkan pada hari tersebut, saya perlu memenuhinya.

“Tetapi bayaran mereka lebih tinggi, mungkin kerana kadar pertukaran mata wang yang lebih tinggi.

“Saya fokus kepada penterjemahan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Biasanya pelanggan luar negara memerlukan khidmat penterjemahan apabila mereka mahu memasarkan produk di pasaran Malaysia,” jelasnya.

Atikah juga tidak menafikan berdepan cabaran tersendiri melakukan kerja dari rumah memandangkan dia mempunyai tiga anak yang masih kecil.

Kerjaya pembantu maya mampu cecah pendapatan lima angka

Siapa sangka kerjaya pembantu maya mampu menghasilkan pendapatan lumayan mencecah sehingga lima angka dengan hanya bekerja dari rumah.

Pengarah NF Techcorp Solutions, Nurfatin Ahmad berkata, 34, berkata, dia mula menceburi bidang tersebut secara solo sejak 2021 kerana mahu mencari pendapatan dan pada masa sama menguruskan keperluan keluarga di rumah.

Menurut anak kelahiran Ipoh, Perak itu, antara perkhidmatan yang mendapat permintaan tinggi ialah pentadbiran, pengurusan media sosial, pemasaran digital, terjemahan, kemasukan data, perakaunan dan teknologi maklumat.

Katanya, servis sedemikian membantu syarikat korporat untuk menguruskan operasi harian dengan lebih baik tanpa perlu mengajikan terlalu ramai pekerja.

“Saya tidak ada kesempatan untuk jual produk disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun itu, jadi saya jual servis dalam talian berbekalkan pengalaman dan belajar sendiri di laman sesawang.

“Lama kelamaan permintaan semakin meningkat dan saya mula nampak satu peluang besar dalam industri ini. Tetapi, saya tak boleh buat semua kerja sendiri, jadi saya tubuhkan syarikat serta rekrut sembilan staf mengikut kepakaran masing-­masing.

“Pelanggan bukan sahaja dari Malaysia, bahkan Singapura, Jerman, Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain. Jika klien berpuas hati, mereka akan meneruskan servis yang kami tawarkan setiap bulan.

“Itulah memungkinkan kami dapat cecah pendapatan dari ratusan ringgit hingga lima angka sebulan bergantung skop kerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurfatin Ahmad

Nurfatin Ahmad

Ujar ibu kepada empat cahaya mata itu, pihaknya turut memberi peluang kepada individu yang berminat untuk mengembangkan bakat dan kemahiran dalam bidang berkenaan.

Ia kerana katanya, NF Techcorp Solutions selaku penyedia latihan berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menjalankan sesi mengajar dan membimbing pembantu maya yang baharu.

Bagaimanapun, Nurfatin tidak menafikan kerjaya tersebut ada cabarannya terutama ketika mula-mula mempelajari skop kerja pembantu maya memandangkan semuanya diusahakan sendiri dari kosong.

“Justeru, pengurusan masa amat penting. Tip buat kaum wanita di luar sana, tak perlu tahu semua perkara tapi cukup sekadar tahu kita boleh buat dan kalau boleh urus sesuatu kerja dengan baik pasti boleh berjaya sehingga mampu bina empayar sendiri,” katanya.

A close up of a pink and blue flower

Photo by Zoha Gohar on Unsplash

Photo by Zoha Gohar on Unsplash

Ambil tempahan reka bentuk digital

Meskipun bergelar suri rumah sepenuh masa, namun kemahiran yang ada tidak disia-siakan untuk menjana pendapatan.

Nursyuhada Abdullah, 29, yang merupakan ibu kepada dua anak berkata, dia memulakan perniagaan produk digital secara kecil-kecilan dengan menawarkan perkhidmatan tempahan untuk poster, pelekat dan sepanduk.

“Setakat ini alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Anggaran pendapatan tertinggi kira-kira RM650 sebulan.

“Setiap tempahan grafik atau reka bentuk dalam RM200, bergantung kepada saiz dan kuantiti tetapi jika guna kertas lebih berkualiti, lain harga.

“Biasanya saya caj RM55 bagi poster dan RM33 untuk pelekat tidak termasuk kos cetak,” katanya.

Jelas Nursyuhada, bekerja dari rumah dan pada masa sama perlu menguruskan suami serta anak kecil akan lebih mencabar sekiranya pelanggan meminta untuk mengubah sebarang reka bentuk serta-merta.

“Apabila berdepan situasi seperti itu, saya perlu berhenti buat kerja rumah dan segera buka komputer untuk siapkan permintaan pelanggan,” ujarnya.

Nursyuhada turut berpandangan, mana-mana wanita terutama suri rumah tidak boleh menjadikan anak-anak sebagai alasan untuk berhenti melakukan sesuatu yang boleh menambah pendapatan.

“Sebaliknya, jadikan anak-anak sebagai pembakar semangat dan sumber inspirasi untuk terus berusaha,” katanya.

Suri rumah dilatih kuasai AI

Individu yang berminat menceburi ekonomi digital termasuk golongan suri rumah boleh mengikuti pelbagai latihan dalam talian di pelbagai platform mengikut kesesuaian masing-masing.

Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Dr Mohd Azlishah Othman berkata, suri rumah boleh menyertai kursus percuma di YouTube, Coursera dan Udemy yang direka supaya mudah difahami dan boleh diikuti mengikut masa sendiri, tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab di rumah.

Menurutnya, kerajaan juga menyediakan pelbagai program latihan khas melalui agensi seperti Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan inisiatif MyDIGITAL.

MDEC, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Institut Keusahawanan Negara Bhd (Insken) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut menyediakan program pembiayaan yang membolehkan wanita mengikuti latihan tanpa beban kewangan yang tinggi.

Menurut Mohd Azlishah, terdapat pusat latihan digital seperti Jelita TVET Women Academy yang menawarkan program khusus direka khas tanpa memerlukan mereka menguasai aspek teknikal yang terlalu mendalam.

Beliau berkata, peluang untuk suri rumah menyertai ekonomi digital terbuka luas ketika ini namun perlu menguasai kemahiran asas termasuk penggunaan internet serta media sosial untuk tujuan pemasaran dan komunikasi.

“Dalam dunia yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), suri rumah juga digalakkan untuk memahami bagaimana AI dan analisis data boleh membantu dalam membuat keputusan perniagaan atau mengurus pelanggan dengan lebih berkesan,” katanya.

Guna kemahiran pemasaran digital bantu suami

Bekas pekerja bank, Danelya Hamida Malik Hashim, 29, berkata, dia meman­faatkan kemahiran kerja dan pengalaman menguruskan pusat pendidikan untuk membantu perniagaan klinik pergigian suaminya.

“Saya bertang­gungjawab menyelia dan menguruskan keseluruhan strategi pemasaran klinik.

“Saya juga terlibat dalam menguruskan perkhid­matan perhubungan awam dan pengiklanan melalui papan iklan untuk memperluaskan capaian dan mening­katkan penga­ruh jenama klinik,” katanya.

Ibu kepada bayi berusia 11 bulan itu mengakui pengurusan masa merupakan cabaran terbesar dihadapinya kerana terpaksa bekerja pada waktu malam dan hujung minggu bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

“Ini memerlukan ketahanan mental tinggi serta kebolehan untuk mengimbangi peranan sebagai ibu dan pengurus pemasaran klinik,” ujarnya yang turut menasihati wanita agar tidak takut mencuba melakukan kerja sampingan untuk membantu keluarga.

Sinar Karangkraf Sdn Bhd Lot 1,
Jalan Renggam 15/5, Persiaran Selangor,
Seksyen 15,
40000 Shah Alam Selangor,
Malaysia

+603-51017388
editorsh@sinarharian.com.my

Diterbitkan oleh Strategi Kandungan dan Perancang Media pada Mac 2025.