GAJI TAK CUKUP SARA HIDUP?

GAJI TAK CUKUP SARA HIDUP?

Gaji sebenar rakyat Malaysia susut tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun - Bekas Gabenor

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim mendedahkan kadar gaji sebenar rakyat Malaysia telah menyusut hampir tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan pengiraan ringkas, gaji permulaan graduan universiti pada hari ini hanya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan berbanding nilai gaji permulaan sebanyak RM1,300 sebulan diterimanya pada 1984.

Beliau berpandangan, gaji setaraf untuk graduan universiti pada zaman sekarang sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan dengan mengambil kira kadar inflasi tahunan sebanyak lima peratus.

"Itu bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada tahun 1980-an. Secara realiti, gaji kita sudah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda.

"Jika sistem pendidikan dan struktur ekonomi negara tidak dirombak, anak-anak kita berkemungkinan akan terpaksa bekerja sebagai buruh berkemahiran rendah," katanya.

Ujar beliau, negara ini sebenarnya sudah lama berada dalam perangkap pendapatan sederhana.

Bagaimanapun, kata Muhammad, isu gaji rendah bukan perkara terpencil sebaliknya berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkaitan seperti kebergantungan kepada pekerja asing, kegagalan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan berkualiti serta kelemahan sistem pendidikan.

Menurutnya, majoriti pekerja asing di Malaysia berada dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) seperti perladangan, perikanan, kilang, tapak pembinaan, restoran serta pekerjaan domestik.

Muhammad memberitahu, sehingga 31 Disember 2024, jumlah tenaga kerja negara ialah seramai 16.78 juta orang dengan 14 peratus ataupun 2.37 juta orang terdiri daripada pekerja asing.

Jelas beliau, kebanyakan pekerja asing yang diambil sejak beberapa dekad lalu dalam kalangan berkemahiran rendah dan tidak berpengalaman, menjadikan kos upah mereka lebih murah.

"Situasi tersebut memberi saingan terus kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) memandangkan gaji mereka tidak meningkat," ujarnya lagi.

Muhammad berkata, Malaysia belum berjaya mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat disebabkan ekonomi kurang cekap dan tidak berskala besar, sekali gus menyebabkan negara gagal mencipta peluang pekerjaan berkualiti untuk graduan.

Jelasnya, sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang dilaksana dikhuatiri sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi memenuhi keperluan pasaran abad ke-21, sekali gus menjejaskan produktiviti serta daya saing negara.

Justeru beliau merumuskan, semua isu itu adalah cerminan kepada sikap kerajaan yang masih teragak-agak dan terlalu berhati-hati untuk melakukan reformasi menyeluruh.

Muhammad menasihatkan kerajaan supaya menghentikan kebergantungan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberi tumpuan kepada struktur pekerjaan untuk memajukan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau mendapati kebanyakan pekerjaan baharu yang diwujudkan ialah kerja berkemahiran rendah tanpa memerlukan pengalaman.

Menurutnya, peluang tersebut telah menarik kemasukan pekerja dari negara seperti Nepal, Bangladesh dan Indonesia berikutan kadar gaji di Malaysia adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di negara asal mereka.

Pada masa sama, Muhammad menyatakan, Malaysia mengalami aliran keluar bakat terutama dalam bidang kejururawatan apabila ramai berhijrah ke Singapura, Timur Tengah, Australia dan New Zealand.

Berdasarkan data dikeluarkan JobStreet, purata gaji bulanan jururawat di Malaysia ialah RM2,700 hingga RM3,400 sebulan manakala Singapura antara RM11,000 hingga RM13,000 sebulan dan Arab Saudi hampir RM7,000 sebulan.

Menurutnya lagi, terdapat ramai rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke Singapura bukan untuk menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) ataupun ketua pegawai kewangan (CFO), sebaliknya sekadar melakukan kerja manual disebabkan nilai gaji lebih tinggi.

Lantara itu, beliau memberi amaran, Malaysia berisiko bertukar daripada ‘pengeksport bakat’ kepada ‘pengeksport tenaga buruh’ jika terus gagal mengubah struktur ekonomi dan tidak mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

“Jika suatu hari nanti anak-anak kita bekerja sebagai pembantu rumah di negara jiran, saya tidak akan terkejut. Ia sangat mungkin berlaku," ujarnya.

Muhammad yang berasal dari keluarga miskin di kampung turut berkongsi bahawa beliau berjaya mengubah nasib melalui pendidikan dan usaha gigih pada era 60-an.

Beliau merupakan graduan Harvard dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd semasa Krisis Kewangan Asia 1997 serta sebagai Gabenor BNM dari 2016 hingga 2018.

Sehubungan itu, beliau menyaksikan sendiri ketahanan ekonomi Malaysia dan percaya negara masih mempunyai potensi untuk berubah bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Lihat sahaja pada tahun 1960-an, China, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun mempunyai pendapatan per kapita lebih rendah daripada Malaysia, namun pendapatan mereka meningkat lima hingga enam kali ganda kira-kira 40 tahun kemudian.

“Ia membuktikan bahawa walaupun kemajuan ekonomi kita ada, namun masih belum mencukupi," katanya.

Gaji sebenar rakyat Malaysia susut tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun - Bekas Gabenor

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim mendedahkan kadar gaji sebenar rakyat Malaysia telah menyusut hampir tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan pengiraan ringkas, gaji permulaan graduan universiti pada hari ini hanya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan berbanding nilai gaji permulaan sebanyak RM1,300 sebulan diterimanya pada 1984.

Beliau berpandangan, gaji setaraf untuk graduan universiti pada zaman sekarang sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan dengan mengambil kira kadar inflasi tahunan sebanyak lima peratus.

"Itu bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada tahun 1980-an. Secara realiti, gaji kita sudah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda.

"Jika sistem pendidikan dan struktur ekonomi negara tidak dirombak, anak-anak kita berkemungkinan akan terpaksa bekerja sebagai buruh berkemahiran rendah," katanya.

Ujar beliau, negara ini sebenarnya sudah lama berada dalam perangkap pendapatan sederhana.

Bagaimanapun, kata Muhammad, isu gaji rendah bukan perkara terpencil sebaliknya berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkaitan seperti kebergantungan kepada pekerja asing, kegagalan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan berkualiti serta kelemahan sistem pendidikan.

Menurutnya, majoriti pekerja asing di Malaysia berada dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) seperti perladangan, perikanan, kilang, tapak pembinaan, restoran serta pekerjaan domestik.

Muhammad memberitahu, sehingga 31 Disember 2024, jumlah tenaga kerja negara ialah seramai 16.78 juta orang dengan 14 peratus ataupun 2.37 juta orang terdiri daripada pekerja asing.

Jelas beliau, kebanyakan pekerja asing yang diambil sejak beberapa dekad lalu dalam kalangan berkemahiran rendah dan tidak berpengalaman, menjadikan kos upah mereka lebih murah.

"Situasi tersebut memberi saingan terus kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) memandangkan gaji mereka tidak meningkat," ujarnya lagi.

Muhammad berkata, Malaysia belum berjaya mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat disebabkan ekonomi kurang cekap dan tidak berskala besar, sekali gus menyebabkan negara gagal mencipta peluang pekerjaan berkualiti untuk graduan.

Jelasnya, sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang dilaksana dikhuatiri sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi memenuhi keperluan pasaran abad ke-21, sekali gus menjejaskan produktiviti serta daya saing negara.

Justeru beliau merumuskan, semua isu itu adalah cerminan kepada sikap kerajaan yang masih teragak-agak dan terlalu berhati-hati untuk melakukan reformasi menyeluruh.

Muhammad menasihatkan kerajaan supaya menghentikan kebergantungan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberi tumpuan kepada struktur pekerjaan untuk memajukan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau mendapati kebanyakan pekerjaan baharu yang diwujudkan ialah kerja berkemahiran rendah tanpa memerlukan pengalaman.

Menurutnya, peluang tersebut telah menarik kemasukan pekerja dari negara seperti Nepal, Bangladesh dan Indonesia berikutan kadar gaji di Malaysia adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di negara asal mereka.

Pada masa sama, Muhammad menyatakan, Malaysia mengalami aliran keluar bakat terutama dalam bidang kejururawatan apabila ramai berhijrah ke Singapura, Timur Tengah, Australia dan New Zealand.

Berdasarkan data dikeluarkan JobStreet, purata gaji bulanan jururawat di Malaysia ialah RM2,700 hingga RM3,400 sebulan manakala Singapura antara RM11,000 hingga RM13,000 sebulan dan Arab Saudi hampir RM7,000 sebulan.

Menurutnya lagi, terdapat ramai rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke Singapura bukan untuk menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) ataupun ketua pegawai kewangan (CFO), sebaliknya sekadar melakukan kerja manual disebabkan nilai gaji lebih tinggi.

Lantara itu, beliau memberi amaran, Malaysia berisiko bertukar daripada ‘pengeksport bakat’ kepada ‘pengeksport tenaga buruh’ jika terus gagal mengubah struktur ekonomi dan tidak mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

“Jika suatu hari nanti anak-anak kita bekerja sebagai pembantu rumah di negara jiran, saya tidak akan terkejut. Ia sangat mungkin berlaku," ujarnya.

Muhammad yang berasal dari keluarga miskin di kampung turut berkongsi bahawa beliau berjaya mengubah nasib melalui pendidikan dan usaha gigih pada era 60-an.

Beliau merupakan graduan Harvard dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd semasa Krisis Kewangan Asia 1997 serta sebagai Gabenor BNM dari 2016 hingga 2018.

Sehubungan itu, beliau menyaksikan sendiri ketahanan ekonomi Malaysia dan percaya negara masih mempunyai potensi untuk berubah bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Lihat sahaja pada tahun 1960-an, China, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun mempunyai pendapatan per kapita lebih rendah daripada Malaysia, namun pendapatan mereka meningkat lima hingga enam kali ganda kira-kira 40 tahun kemudian.

“Ia membuktikan bahawa walaupun kemajuan ekonomi kita ada, namun masih belum mencukupi," katanya.

Penting capai gaji sara hidup - KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menekankan kepentingan mencapai gaji sara hidup iaitu pendapatan melebihi keperluan asas bagi menyokong taraf hidup dan keselamatan kewangan jangka panjang.

KWSP dalam kenyataan berkata, ia sebagaimana disarankan inisiatif GEAR-uP di bawah Ekonomi Madani.

Pihaknya menyokong usaha tersebut melalui Panduan Belanjawanku yang memberikan rujukan praktikal kepada isi rumah untuk mencapai taraf hidup wajar.

"Walaupun semakan ke atas gaji minimum baru-baru ini kepada RM1,700 merupakan langkah positif, kami menekankan pentingnya pencapaian gaji sara hidup.

“Kami juga terus menyokong reformasi yang mengukuhkan kesiapsiagaan persaraan antaranya mempromosikan celik kewangan.

"Menggalakkan penambahan simpanan secara sukarela dan membantu dasar yang memperluaskan pekerjaan formal terutama dalam kalangan pekerja sektor rentan serta tidak formal," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah KWSP, langkah itu sejajar dengan tujuan dan misi untuk membina masa depan persaraan yang lebih baik dan membantu ahli mencapai pendapatan persaraan selesa.

99.5 peratus majikan patuh gaji minimum - Kesuma

Pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 menunjukkan tahap pematuhan hampir sepenuhnya oleh majikan sejak ia mula berkuat kuasa pada 1 Februari tahun ini.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, berdasarkan laporan Jabatan Tenaga Kerja, kadar pematuhan majikan terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 mencapai 99.5 peratus setakat Mac lalu.

"Dianggarkan seramai 4.37 juta pekerja di Malaysia telah mendapat manfaat daripada kenaikan RM200 daripada gaji minimum terdahulu iaitu RM1,500.

"Usaha kerajaan untuk meningkatkan gaji menunjukkan beberapa perkembangan positif.

"Gaji bulanan median terkini melepasi paras RM3,000 buat pertama kali,” katanya.

Dalam pada itu, mengambil kira kebimbangan rakyat mengenai kecukupan gaji minimum dengan peningkatan kos sara hidup, Kesuma berkata, penting untuk mempertimbangkan landskap ekonomi yang lebih luas termasuk kesan terhadap perniagaan.

"Perkara ini sangat penting dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan kemungkinan berlakunya perang perdagangan.

"Oleh itu, di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, gaji minimum disemak sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun dengan mengambil kira kedua-dua kos sara hidup dan keadaan ekonomi negara,” ujarnya.

5 langkah tingkakan kadar gaji rakyat

Pakar-pakar ekonomi mencadangkan lima langkah yang boleh diambil kerajaan bagi merombak struktur ekonomi, sekali gus bagi memastikan kadar gaji sebenar rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan secara mampan.

Antara langkah yang dicadangkan ialah menambat ringgit mengikut nilai komoditi sekali gus menyebabkan mata wang lebih stabil, mengurangkan pengambilan pekerja asing melalui pendigitalan dan automasi, membangunkan industri setempat dengan produk berasaskan teknologi, memantapkan sektor pendidikan serta dasar gaji progresif.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School (PBS), Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar gaji menyusut adalah disebabkan sistem monetari itu sendiri sekali gus menjadikan kuasa membeli semakin merosot setiap tahun.

“Kadar inflasi meningkat setiap tahun dan kuasa membeli merosot. Ia disebabkan wang yang diterima tak cukup untuk sara hidup kerana mata wang itu sendiri bersifat mata wang fiat, iaitu tidak disandarkan pada mana-mana komoditi.

“Apabila mata wang tidak menjadi sandaran, memang sukar untuk nilainya mengukuh. Jadi, penyelesaiannya harus melihat kepada bagaimana mata wang kita boleh disandarkan kembali kepada komoditi melalui teknologi,” katanya.

Tambah Ahmed Razman, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin akan memperkenalkan mata wang digital bank pusat (CBDC) iaitu wang wang kripto menggunakan teknologi blockchain.

Jelasnya, apabila dicipta secara elektronik, bermakna ada cara untuk menambatkan mata wang itu dengan komoditi tertentu seperti emas, minyak sawit, beras.

“Ia akan menyebabkan mata wang kita lebih stabil dan mengukuhkan kuasa membeli berbanding sekarang,” ujar beliau.

Selain itu, Ahmed Razman turut mencadangkan agar kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing melalui pendigitalan dan automasi.

Katanya, apabila mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, Malaysia akan berhijrah kepada automasi yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan sederhana untuk mengendalikan semua mesin dan sistem.

“Dari situlah, kita boleh menggajikan pekerja tempatan dengan kadar gaji yang lebih tinggi. Kita kena ada perancangan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing ini secara sedikit demi sedikit.

“Selain itu, kita kena membangunkan industri setempat supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan, terutamanya yang memerlukan pembangunan produk berasaskan teknologi.

“Sekarang ini, sebahagian besar PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) kita adalah dalam sektor makanan (F&B). Kena perbanyakkan lagi PMKS dalam bidang sektor teknologi, pembangunan pembuatan dan pembangunan sistem digital,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut senada dan menyatakan perlu satu pendekatan yang lebih praktikal dengan menggalakkan model perniagaan berkos tinggi.

Jelasnya, ia bermaksud perniagaan itu menekankan aspek nilai tambah yang tinggi melibatkan penyelidikan dan inovasi umpamanya, sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran.

“Jadi, secara tidak langsung sektor pendidikan kita kena mantap, supaya lebih banyak graduan yang berdaya saing, berketerampilan dan mungkin boleh menguasai mata pelajaran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dengan lebih baik lagi,” katanya.

Mohd Afzanizam turut memuji dasar gaji progresif yang dilakukan kerajaan sekarang ini yang dilihat salah satu cara ke arah meningkatkan pendapatan rakyat.

“Ia merupakan satu bentuk intervensi oleh kerajaan, yang mana kerajaan memperuntukkan sekitar RM200 juta untuk 2025, melibatkan kira-kira 55,000 orang.

“Dasar ini merupakan langkah intervensi untuk meningkatkan tangga gaji pekerja, diikuti dengan peningkatan inovasi dengan skim-skim latihan bagi pekerja yang terlibat,” jelasnya.

Kerja di kampung pun sesak poket

Malah majoriti pekerja di luar bandar perlu melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan kerana kos sara hidup di kawasan itu juga meningkat seperti di bandar.

Kerja di kampung pun sesak poket

Malah majoriti pekerja di luar bandar perlu melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan kerana kos sara hidup di kawasan itu juga meningkat seperti di bandar.

'Orang kata duduk Kelantan semua murah, tapi itu dulu'

Pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan belum cukup selesa bagi mereka yang tinggal di Kelantan walaupun dilabel sebagai negeri kos sara hidup rendah di Malaysia.

Firdaus Hamzah

Firdaus Hamzah

Menurut seorang promoter jualan, Firdaus Hamzah, 24, dia masih perlu melakukan kerja sampingan dan bekerja lebih masa untuk mendapatkan duit lebih.

"Orang kata duduk di Kelantan semua murah, itu dulu. Sekarang sama sahaja dengan negeri lain.

"Perbelanjaan bulanan saya dan isteri paling banyak digunakan untuk makanan, di mana kami belanjakan RM50 sehari.

“Jika hujung bulan kami bawa bekal nasi, serta air manis yang dikacau dari rumah manakala lauk dibeli di kedai," kata bapa kepada seorang anak yang berusia dua bulan.

Menurut Firdaus, pada hari Jumaat dia sanggup korbankan waktu cuti untuk mengambil upah memasang dan mengemas khemah di pasar minggu Wakaf Bharu dengan kadar upah RM50.

Selain itu, isterinya juga bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM1,700.

"Saya bersama isteri dan anak tinggal dengan ayah mentua serta tiga adik ipar di Kampung Padang Mandol, Tumpat.

"Untuk lagi berjimat kami berkongsi kereta ke tempat kerja. Bayaran bulanan kereta sekitar RM680 sebulan iaitu Persona, selebihnya duit minyak," katanya.

Ujar Firdaus, tidak lama lagi mereka perlu menyediakan upah pengasuh RM500 sebulan tidak termasuk susu dan lampin pakai buang.

Harga barang sama seperti di bandar, tapi gaji di kampung sangat rendah

Pendapatan isi rumah mencecah RM2,000 sebulan masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian sekeluarga di luar bandar dalam keadaan kos sara hidup yang kian menghimpit pada ketika ini.

Rosnita Yahaya

Rosnita Yahaya

Pembantu kantin, Rosnita Yahaya, 39, berkata, situasi itu memaksa dirinya melakukan pelbagai kerja sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Gaji kerja kantin memang tidak cukup, jadi bila habis waktu sekolah, saya ambil upah hantar makanan. Dapatlah RM15 sehari.

"Kalau hujung minggu, saya ambil tempahan sambal, masak patin tempoyak, boleh raih RM70 pun dah cukup untuk belanja anak sekolah,” katanya yang tinggal di Bukit Kuantan, Pahang.

Ujar ibu kepada dua anak itu, suaminya, Roslan Othman, 45, pula bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan bergantung kepada jumlah trip.

“Dulu RM300 cukup untuk beli barang dapur sebulan, sekarang RM400 lebih pun belum tentu cukup, kadang- kadang hujung bulan terpaksa cari duit lain untuk tampung.

“Sebab itu saya rasa pekerja luar bandar juga perlu terima gaji setaraf dengan pekerja di bandar.

“Harga barang sama, tapi gaji berbeza. Hidup makin susah sekarang,” ujarnya.

Gaji RM2,000 di luar bandar belum cukup untuk menyimpan

Seorang pemandu traktor, Mohd Zaki Sulong, 51, mengakui gaji bersih sekitar RM2,000 hingga RM2,200 sebulan tidak mencukupi.

Mohd Zaki Sulong

Mohd Zaki Sulong

"Sekarang ni barang makan makin mahal, bila dapat gaji terus habis beli barang dapur. Biasanya sekali beli barang kering habis dalam RM600 ke RM700, tapi kadang-kadang lebih sampai RM800 pun ada.

“Barang basah pula macam ikan, ayam, sayur, dua hingga tiga hari sekali beli, sekali beli paling kurang RM60 ke RM70, kalau lauk mahal sikit boleh cecah lebih RM100,” katanya yang bekerja di Felcra Bukit Kapah, Terengganu.

Ujar bapa kepada tujuh anak itu, lima daripada anaknya masih bersekolah.

Tambah Mohd Zaki, isterinya, Nor Azlina Mohd Amin, 47, seorang suri rumah maka dia perlu melakukan kerja sambilan seperti membersih kebun, menebang pokok atau mengutip kelapa.

Pagi kerja pasar, malam jual burger

Meskipun melakukan dua pekerjaan untuk menyara empat orang anak namun perbelanjaan bulanan masih tidak mencukupi sehingga terpaksa meminjam daripada rakan-rakan sementara menunggu gaji.

Suhardi Abd Hamid

Suhardi Abd Hamid

Situasi itu dihadapi Suhardi Abd Hamid, 40, yang bekerja di pasar menjual ayam pada pagi manakala sebelah malam menjual burger bagi menambah pendapatan.

Suhardi yang tinggal di Senawang berkata, sebelum ini dia berniaga baju bundle namun terjejas teruk dan akhirnya ditutup akibat pandemik Covid-19.

"Pagi kerja di pasar ayam, petang saya jadi penghantar makanan, pernah juga kerja kedai makan, kemudian dalam setahun ini bekerja sampingan menjual burger pula.

"Dengan duit ada kena bijak urus perbelanjaan, kadang kala terpaksa tangguh bayar bil air dan elektrik.

"Untuk hidup selesa, saya perlukan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan," katanya yang berasal dari Selama, Perak.

Ujar Suhardi, kerja di bandar atau luar bandar memerlukan pendapatan yang sama kerana harga bahan mentah adalah sama di mana-mana kawasan.

Pekerja di bandar mahu kerajaan beri insentif tambahan

Kerajaan perlu memberikan insentif tertentu bagi memperbaiki kualiti hidup keluarga yang terjejas apabila terpaksa melakukan beberapa kerja tambahan akibat peningkatan kos sara hidup.

Muhamad Nasharuddin bersama isteri dan anak

Muhamad Nasharuddin bersama isteri dan anak

Jurutera reka bentuk, Muhamad Nasharuddin Muhamammad, 29, berkata, dia melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan meskipun perlu mengorbankan masa bersama isteri dan anak.

Menurutnya, kerja di bandar tidak menjamin sumber kewangan yang kukuh dan stabil apatah lagi dengan peningkatan harga barang menjadikan hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kalau ikut keperluan asas, gaji yang diterima bolehlah cukup makan untuk sebulan. Cuma apabila musim perayaan atau sambutan hari tertentu memang perlu menyimpan awal.

“Kadang terpaksa buat dua kerja, agak mencabar juga sebagai ketua keluarga kerana apabila terlebih bekerja, masa dengan insan tersayang pun makin kurang,” katanya.

Seorang kerani kewangan, Nurul Atikah Kamal, 28, turut mengakui sedang mempertimbangkan untuk mencari satu lagi kerja sambilan pada waktu malam.

Ketika ini, dia bekerja sepenuh masa dari Isnin hingga Jumaat dan melakukan kerja sampingan sebagai penjual minyak wangi pada setiap hujung minggu.

Nurul Atikah Kamal

Nurul Atikah Kamal

Katanya, gaji yang diterima masih tidak seiring dengan kos sara hidup, lebih-lebih lagi dia perlu menyara keluarga dan membantu adiknya di universiti.

“Walaupun kerajaan ada menaikkan gaji minimum tetapi harga barang sekarang makin mahal, contohnya kalau beli barang dapur sekali bayar mesti habis RM100 lebih.

“Kalau perlu berbelanja lebih sedikit, saya perlu menyimpan tiga atau empat bulan sebelum barulah boleh membeli,” ujarnya yang tinggal di Selangor.

Sementara itu menurut pembantu tadbir, Ahmad Supian Napiah, 50, pendapatannya masih belum mencukupi untuk menampung keluarga yang terdiri daripada empat tanggungan termasuk dua anak masih bersekolah.

“Seorang dah masuk institusi pengajian tinggi (IPT) dan seorang lagi Tingkatan Empat, memang memerlukan duit yang banyak untuk menampung perbelanjaan pendidikan mereka.

“Sebab itulah, saya boleh katakan gaji hanya cukup-cukup makan sebab tolak bayar segala utiliti, jumlah yang ada perlu bertahan hingga hujung bulan.

“Hendak menyimpan pun kadang ada, kadang tiada. Kalau ada lebih, bolehlah simpan sikit-sikit,” katanya.

Justeru dia berharap agar kerajaan atau majikan menyediakan lebih banyak bentuk bantuan kewangan dalam bentuk barangan asas setiap bulan.

Khazanah syor gaji minimum disemak setiap tahun

Kerajaan dicadang mewajibkan semakan perintah gaji minimum dibuat setiap tahun bagi memastikan pelarasan upah diterima pekerja di Malaysia selari dengan peningkatan kos sara hidup.

Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Shazrul Ariff Suhaimi berkata, dasar atau strategi ekonomi sedemikian turut dilaksanakan di beberapa negara lain.

"Pada masa ini, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (NWCC) 2011 menetapkan semakan perintah gaji minimum setiap dua tahun. Namun, akta ini juga membenarkan semakan lebih awal oleh majlis berkenaan sama ada atas inisiatif mereka sendiri atau arahan kerajaan.

"Satu cadangan ialah mewajibkan semakan tahunan, selari dengan amalan di beberapa negara lain untuk memastikan pelarasan gaji minimum mengikuti peningkatan kos sara hidup.

"Contoh dasar lain yang boleh diteroka termasuklah dari Belgium, Perancis, Luxembourg dan Poland, di mana gaji minimum statutori diindeks secara automatik kepada inflasi. Di Australia pula, gaji minimum ditetapkan oleh sebuah badan bebas," katanya.

Ditanya mengenai faktor utama menyumbang kepada jurang gaji minimum serta kos sara hidup yang sebenar, beliau berkata, ia disebabkan oleh pertumbuhan gaji yang perlahan dalam kalangan tenaga kerja.

Menurutnya, meskipun gaji minimum terbukti penting dalam merangsang pertumbuhan gaji pekerja berpendapatan rendah, namun perkara tersebut menjadi faktor yang menyumbang kepada jurang umum antara gaji dan kos sara hidup sebenar.

"Apabila kami meneliti agihan gaji dari tahun 2010 hingga 2019, didapati bahawa bagi 50 peratus pekerja peringkat bawahan, purata kenaikan tahunan sebenar hanyalah RM56 seorang.

"Kita sedang mengalami inflasi yang berpunca terutamanya daripada gangguan rantaian bekalan dan kejutan geopolitik seperti perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China," katanya.

Mengulas mengenai kesan pelaksanaan gaji minimum baharu, Shazrul Ariff berkata, secara umumnya kenaikan tersebut memberi impak sangat bermakna.

"Mekanisme sokongan tambahan bagi isi rumah berpendapatan rendah termasuk program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)," katanya.

Namun ujarnya, perlu ada penambahbaikan dalam aspek kesatuan sekerja dan liputan rundingan bersama agar golongan pekerja dapat gaji yang lebih adil.

Gaji graduan baharu cukup-cukup makan

Beberapa graduan muda dari pelbagai bidang pekerjaan memberitahu menerima gaji permulaan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Walaupun jumlah itu memenuhi jangkaan awal mereka namun ia kini hanya sekadar cukup-cukup makan untuk keperluan asas sahaja.

Ahmad Afifu’d-din Hisamuddin

Ahmad Afifu’d-din Hisamuddin

Seorang pegawai pemakanan sukan di sebuah kelab bola sepak di Lembah Klang, Ahmad Afifu’d-din Hisamuddin, 24, berkata, dia menerima gaji permulaan sebanyak RM3,000.

“Saya anggap gaji ini memadai bagi seorang ‘fresh grad’. Ia mencukupi untuk keperluan asas seperti sewa bilik, makan minum, bayaran balik pinjaman pendidikan dan kos pengangkutan.

“Saya selesa bekerja di syarikat sekarang dan ingin terus menimba pengalaman. Tapi saya harap sumbangan saya akan dihargai dengan kenaikan gaji yang setimpal.

“Saya jangka gaji akan meningkat dalam tempoh lima tahun kerana bidang pemakanan sukan masih kecil dan memerlukan tenaga pakar yang berpengalaman,” kata graduan Ijazah Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Bagi jurutera analisis kegagalan di sebuah kilang elektronik, Wan Muhamad Haziq Wan Mohamad, 28, gaji permulaan sekitar RM3,000 dianggap memenuhi jangkaan.

Wan Muhamad Haziq Wan Mohamad

Wan Muhamad Haziq Wan Mohamad

Dia mengakui gaji tersebut masih mampu menampung keperluan asas seperti sewa, makanan, bil utiliti dan pengangkutan kerana belum mempunyai komitmen besar.

“Dengan kelayakan akademik dan permintaan pasaran kerja dalam bidang kejuruteraan, jumlah itu munasabah.

“Namun, saya tetap terbuka untuk mencari peluang kerja di tempat lain jika ada tawaran lebih baik dari segi gaji, faedah dan suasana kerja,” katanya yang merupakan lepasan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Pekerja sektor sumber manusia, Rabiatul Adawiyah Fathor Rasi, 26, pula berkata, dia beliau menerima gaji permulaan sebanyak RM2,000 sebagai peserta program latihan sambil bekerja di bawah syarikat cari gali minyak.

Rabiatul Adawiyah Fathor

Rabiatul Adawiyah Fathor

“Bagi saya ia memenuhi jangkaan kerana saya sedar peranan saya sebagai peserta latihan, bukan kakitangan tetap,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia itu.

Walaupun tinggal bersama keluarga membantunya menjimatkan kos, Rabiatul mengakui perlu mencari kerja tetap dengan gaji lebih tinggi selepas menimba pengalaman menerusi program tersebut.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja UPM, Mohammad Haziq Zikri Zainuri, 23, meluahkan rasa kecewa apabila gaji permulaan sebagai pengkaji saintifik tentang diet dan pemakanan dalam sektor korporat tidak mencapai jangkaan.

“Secara jujurnya, industri dietetik ini memang dibayar rendah. Ramai graduan merancang tukar bidang kerana sukar untuk berkembang dari segi kewangan.

“Buat masa ini saya masih mampu bertahan kerana tinggal bersama ibu bapa, namun masa depan bakal mencabar jika gaji tidak meningkat seiring kos sara hidup.

Mohammad Haziq Zikri Zainuri

Mohammad Haziq Zikri Zainuri

“Saya berharap gaji permulaan untuk fresh grad di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya RM3,000 dengan kos barang yang makin mahal, angka itu baru cukup untuk hidup sendirian,” katanya.

Gaji ideal patut RM5,000 ke atas - pakar ekonomi

Kadar gaji ideal dan bermaruah bagi kategori bujang mahupun keluarga yang memiliki dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas, namun bergantung kepada lokasi sama ada menetap di bandar atau luar bandar.

Penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAWK) bulanan bagi satu isi rumah dicatatkan sebanyak RM4,729 untuk 2023.

Malah menurutnya, PAKW di kawasan bandar lebih tinggi berbanding luar bandar dengan nilai masing-masing RM5,040 dan RM3,631.

“Pengkelasan B40, M40 dan T20 hanya pendapatan kasar isi rumah, malah sudah pasti ia bukan ukuran tepat untuk menganalisis dapatan tersebut disebabkan mengambil kira kos sebenar sara hidup.

“Sudah pasti jumlahnya juga berbeza sama ada mengikut negeri-negeri di Malaysia atau perbandingan kos sara hidup di bandar dan luar bandar.

“Antara faktor penyumbang dari segi ekonomi adalah kenaikan kadar inflasi yang selalunya berpunca daripada permintaan dan bekalan, nilai matawang jatuh atau Malaysia terlalu banyak import makanan daripada negara luar,” katanya.

Menurut beliau, sejak 2019, gaji nominal setiap pekerja hanya meningkat tujuh peratus berbanding kenaikan harga keseluruhan iaitu 9.3 peratus, manakala makanan naik sebanyak 17.4 peratus.

Bukan itu sahaja, kelompok B40 juga membelanjakan 52 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli keperluan asas berbanding M40 (37 peratus) dan T20 (32 peratus).

DOSM pada 2 November tahun lalu melaporkan, perbelanjaan sara hidup yang wajar bagi isi rumah mencapai purata nasional per kapita RM1,314 sebulan.

Aimi Zulhazmi berpandangan, meskipun kadar inflasi terkawal sepertimana dikatakan kerajaan, tetapi pendapatan rakyat tidak mengalami perubahan ketara.

Tambahnya, purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di negara ini meningkat dari RM3,087 pada 2018 kepada RM3,224 pada 2019.

Kata beliau, purata gaji yang diterima pada 2022 juga dilaporkan meningkat sebanyak 5.8 peratus iaitu RM3,212 berbanding RM3,037 pada 2021.

“Mungkin secara puratanya kelihatan banyak, tetapi jika dibandingkan dengan PAWK oleh DOSM, isi rumah di Malaysia dicatatkan pada RM4,729 untuk 2023.

“Selangor catat rekod tertinggi iaitu RM5,854 diikuti Perak sebanyak RM3,723. Jelas kelihatan bahawa jurang antara pendapatan purata gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia serta PAKW masih jauh.

“Jadi kewujudan label ‘kerja tapi miskin’ tidaklah menghairankan,” ujarnya lagi.

Tingkat kemahiran diri bantu pekerja raih gaji lebih tinggi

Golongan pekerja disaran proaktif meningkatkan kemahiran tanpa hanya bergantung kepada gaji asas semata-mata untuk meraih pendapatan lebih tinggi.

Ku Mohd Fikri Hanif Ku Puteh

Ku Mohd Fikri Hanif Ku Puteh

Pengarah Urusan Tun Emas, Ku Mohd Fikri Hanif Ku Puteh berkata, pekerja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemampuan dan pengetahuan demi kelangsungan hidup agar kekal relevan dalam pasaran kerja.

Menurutnya, pekerja yang menguasai kemahiran digital dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital dan pengurusan projek mampu mendapat gaji 20 hingga 30 peratus lebih tinggi.

"Jadi nasihat saya, jangan berhenti belajar. Ambillah kursus percuma, sertai program peningkatan kemahiran dan sentiasa nilai diri sendiri sama ada membawa nilai tambah kepada syarikat.

"Jangan malu juga untuk bincang dengan majikan bila rasa sumbangan kita dah meningkat. Majikan yang bagus akan hargai pekerja yang beri impak," katanya.

Ujar Ku Mohd Fikri, syarikatnya menggunakan pendekatan produktiviti seperti kerja hibrid untuk mengurangkan kos operasi dan memastikan pekerja menerima gaji berpatutan tanpa membebankan syarikat.

Menurutnya, lebihan yang dijimatkan itu boleh diagih semula kepada pekerja dalam bentuk elaun atau bonus.

Beliau menjelaskan, pekerja di syarikatnya dibantu menjana pendapatan tambahan melalui projek sampingan, diberi latihan percuma dan mendapat manfaat seperti makan tengah hari bersubsidi.

"Kami juga beri perhatian kepada pekerja yang memerlukan sokongan khas seperti ibu tunggal atau yang menanggung ibu bapa agar mereka tidak terperangkap dalam tekanan kewangan," ujarnya lagi.

Ku Mohd Fikri Hanif memaklumkan, syarikat itu menawarkan kemudahan lain seperti panel kesihatan yang dirasakan sama nilainya dengan kenaikan kadar gaji dalam meringankan beban hidup pekerja.

"Secara tidak langsung, nilai gaji mereka meningkat secara praktikal apabila beban sara hidup berkurang," jelasnya.

Sementara itu, Pengasas Telekung Kalista Clara, Shahlina Mustafa berpandangan, pekerja perlu mempunyai kemahiran melakukan pelbagai tugas untuk meningkatkan peluang kenaikan gaji.

Shahlina Mustafa

Shahlina Mustafa

Menurutnya, berpengalaman dan kebolehan menyelesaikan masalah merupakan antara ciri yang disukai majikan.

"Jadi, majikan pastinya tidak teragak-agak untuk menaikkan gaji seseorang pekerja kerana mereka tahu pekerja ini mampu membantu menaikkan jualan syarikat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, syarikatnya ada mengambil langkah meningkatkan pendapatan pekerja melalui sistem komisen dan elaun tambahan.

"Contohnya, host live akan terima komisen jualan atas jualan telekung manakala pekerja operasi akan diberi elaun berdasarkan jumlah bungkusan yang disiapkan," katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Rhusma Property, Abdul Rahman Hussin, pekerja di syarikatnya digalakkan menambah kemahiran seperti fotografi bagi meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan.

Tambah beliau, kebanyakan pekerja termasuk kerani mempunyai kemahiran tambahan seperti suntingan melalui aplikasi Canva, sekali gus membolehkan mereka menyunting bahan promosi apabila diminta tanpa perlu mendapatkan khidmat grafik luar.

Ujanya, pekerja di syarikat yang menawarkan khidmat jurupandu Escapezone Kedah untuk aktiviti pendakian di Gunung Keriang itu juga dibenarkan mengambil dan menghantar pendaki dari luar negeri untuk pendapatan sampingan.

"Saya percaya pekerja yang dibimbing dengan kemahiran tambahan ini bukan sahaja mampu menambah nilai diri mereka, malah menjadikan operasi syarikat lebih efisien," katanya.

Lebih banyak kisah lain

Rahsia moyang usia lebih100 tahun

Kisah suka duka individu berusia satu abad yang masih sihat menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang. Mereka menyaksikan dan melalui perubahan zaman.

Jerat hutang beli dulu bayar kemudian

Kadar penggunaan skim BNPL di Malaysia semakin meningkat kerana mudah diluluskan dan jumlah pengguna BNPL di negara ini mencapai 10.3 juta orang pada 2024.

Bukan biasa-biasa, suri rumah poket tebal

Mereka ini hanyalah suri rumah namun bijak merebut peluang meningkatkan taraf hidup dengan menambah pendapatan keluarga, sekali gus menyumbang kepada aliran ekonomi negara.

Fenomena mati sendirian membimbangkan

Fenomena ramai warga emas di Jepun meninggal dunia keseorangan dikhuatiri melanda Malaysia susulan trend hidup bersendirian dan tidak berkahwin dalam kalangan rakyat berusia 30 tahun ke atas.

Impian anak-anak kanser, 'aku ingin sembuh'

Pada 2024 , kadar kes kanser dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah ialah enam kes bagi setiap 100,000 penduduk dan sebanyak 1,000 kes kanser kanak-kanak baharu dilaporkan.

Jururawat tak sanggup tunggu pencen 60 tahun

Tekanan kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau menjadi antara punca utama jururawat hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding menunggu sehingga umur 60 tahun.

Palsukan dokumen, tanahku tiba-tiba milik orang

Penipuan pindah milik tanah semakin menjadi isu yang meruncing di Malaysia dengan sindiket yang beroperasi menggunakan taktik licik dan mengeksploitasi kelemahan sistem pengurusan tanah.

Sinar Karangkraf Sdn Bhd
Lot 1 Jalan Renggam 15/5
Persiaran Selangor Seksyen 15
40000 Shah Alam
Selangor, Malaysia
03-51017388
editorsh@sinarharian.com.my

Diterbitkan oleh Strategi Kandungan dan Perancang Media pada Mei 2025