Rahsia Moyang

100 Tahun

Rahsia Moyang

100 Tahun

Laporan khas ini menyoroti kisah individu berusia 100 tahun dan ke atas yang masih sihat menjalani kehidupan masing-masing.

Lebih manis apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini terus diraikan bersama keluarga tersayang.

Mereka merasai dan melihat perubahan sambutan perayaan ini sepanjang abad dengan mengimbau nostalgia lama.

Ikuti kisah mereka yang diceritakan kepada wartawan Sinar Harian.

Moyang 112 tahun bahagia bersama 11 anak, 70 cucu, 20 cicit dan 2 piut

Seorang warga emas berusia 112 tahun dari Felcra Teratak Batu dekat Pasir Puteh, Kelantan memberitahu hidangan ketupat palas, tapai pulut dan air telaga mentah menjadi hidangan istimewa setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri semasa zaman remajanya.

Kelthom Yaacob yang masih sihat tanpa sebarang penyakit serta mampu berjalan dengan baik berkata, pada waktu itu tiada kuih-muih ataupun makanan beraneka seperti air berperisa dan pelbagai warna.

“Kalau istimewa sikit, ada nasi lemak. Itu sudah cukup istimewa, tetapi tradisi memberi duit raya memang sejak dari dahulu lagi diamalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut ibu kepada 11 cahaya mata itu, semasa Aidilfitri dia mengenakan baju kurung yang ditempah pada tukang jahit dengan harga sekitar RM1 atau RM3 sepasang.

Ujar Kelthom yang kini mempunyai lebih 70 cucu, 20 cicit dan dua piut, hari raya zaman dahulu hanya disambut sekitar dua hari sahaja tidak seperti sekarang apabila rumah terbuka diadakan sehingga akhir Syawal.

“Seingat saya, mak ayah sanggup simpan dan kumpul duit syiling untuk diberikan kepada tetamu kanak-kanak. Paling menjadi rebutan ialah 50 sen kerana nilai paling tinggi, dapat yang ini sudah rasa gembira sangat,” katanya.

Bagi mengekalkan tahap kesihatan, dia tidak pernah meninggalkan bacaan ayat kursi selepas solat selain sering berpuasa dan mengamalkan makan tiga buku garam kasar bersama segelas air sebaik bangun dari tidur.

Sementara itu cucunya, Siti Aishah Mohamad, 41, berkata, mereka bersyukur dan bertuah kerana masih dapat meraikan Aidilfitri bersama neneknya yang kini sudah mencecah usia seabad.

“Setiap kali hari raya, nenek insan yang paling sibuk walaupun sekarang pergerakannya sudah terhad. Dia tetap akan menemani kami di dapur siapkan hidangan­ dan akan menjadi orang terawal bertanyakan tentang persiapan.

“Kalau boleh selepas mandi sunat hari raya, nenek hendak kami berkumpul dan bermaaf-maafan. Dalam keluarga kami sudah menjadi tradisi selepas solat sunat Aidilfitri semua ahli keluarga akan berkumpul di rumah nenek.

“Kalau dihitung lebih 100 orang sehingga kadang kala tidak muat rumah serta makanan terpaksa ditambah dari pagi sampai ke petang,” cerita Siti Aishah.

Penerokawati tanah rancangan Felda kekal sihat di usia 102 tahun

Di sebalik usianya yang sudah mencecah 102 tahun, seorang warga emas di Felda Sungai Tekam dekat Jerantut, Pahang masih ceria menyambut Aidilfitri bersama empat generasi keturunannya.

Ketika ditemui Sinar Harian, Rahmah Shabudin yang mempunyai lima anak, 18 cucu, 55 cicit dan 11 piut itu berkongsi kenangan setiap kali Aidilfitri.

“Setiap kali raya, memang juadah ketupat palas bersama rendang ayam wajib ada selain kuih bahulu, maruku, kerepek bawang, semuanya sudah siap ditempah oleh cucu.

“Kalau ditanya kenangan, sudah pasti Tok suka bila semua balik beraya di sini sebab tidak boleh naik kereta keluar ke mana-mana cepat mabuk,” katanya.

Rahmah yang berasal dari Kebun Sireh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama arwah suaminya, Ariffin Sharif berasal dari Changkat, Nibong Tebal menyertai tanah rancangan Felda Sungai Tekam pada 1965.

“Dari dulu, bila sudah ikut suami masuk Felda, hanya banyak buat kerja-kerja kampung membantu suami,” ujar Rahmah yang memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia lebih 30 tahun lalu.

Ketika ditanya rahsia kesihatan diri, Rahmah memaklumkan tiada amalan tertentu atau sebarang pantang, cuma sejak kebelakangan ini dia tidak makan sayur-sayuran seperti kacang dan kangkung bagi mengelak sakit urat.

Dia masih sihat dan cergas tanpa sebarang penyakit kronik namun menghidap darah tinggi sejak 15 tahun lalu.

“Alhamdulillah sepanjang puasa (Ramadan), setakat ini masih puasa penuh lagi,” katanya.

Rahmah kini dijaga oleh cucunya, Noor Izam Ahmad, 52, bersama isteri, Sharifah Mas ‘Aza Mohamed, 44.

Menurut Noor Azam, neneknya masih mampu mengingati kisah-kisah lama dengan baik.

“Saya memang rapat dengan nenek kerana dia menjaga saya sejak kecil sehingga berumur 12 tahun sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

“Saya sebelum ini tinggal Semenyih, Selangor sebelum ambil keputusan berhenti kerja untuk balik ke sini bersama keluarga untuk menjaga nenek,” kongsinya.

Penerokawati tanah rancangan Felda kekal sihat di usia 102 tahun

Di sebalik usianya yang sudah mencecah 102 tahun, seorang warga emas di Felda Sungai Tekam dekat Jerantut, Pahang masih ceria menyambut Aidilfitri bersama empat generasi keturunannya.

Ketika ditemui Sinar Harian, Rahmah Shabudin yang mempunyai lima anak, 18 cucu, 55 cicit dan 11 piut itu berkongsi kenangan setiap kali Aidilfitri.

“Setiap kali raya, memang juadah ketupat palas bersama rendang ayam wajib ada selain kuih bahulu, maruku, kerepek bawang, semuanya sudah siap ditempah oleh cucu.

“Kalau ditanya kenangan, sudah pasti Tok suka bila semua balik beraya di sini sebab tidak boleh naik kereta keluar ke mana-mana cepat mabuk,” katanya.

Rahmah yang berasal dari Kebun Sireh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama arwah suaminya, Ariffin Sharif berasal dari Changkat, Nibong Tebal menyertai tanah rancangan Felda Sungai Tekam pada 1965.

“Dari dulu, bila sudah ikut suami masuk Felda, hanya banyak buat kerja-kerja kampung membantu suami,” ujar Rahmah yang memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia lebih 30 tahun lalu.

Ketika ditanya rahsia penjagaan diri, Rahmah memaklumkan tiada amalan tertentu atau sebarang pantang, cuma sejak kebelakangan ini dia tidak makan sayur-sayuran seperti kacang dan kangkung bagi mengelak sakit urat.

Dia masih sihat dan cergas tanpa sebarang penyakit kronik namun menghidap darah tinggi sejak 15 tahun lalu.

“Alhamdulillah sepanjang puasa (Ramadan), setakat ini masih puasa penuh lagi,” katanya.

Rahmah kini dijaga oleh cucunya, Noor Izam Ahmad, 52, bersama isteri, Sharifah Mas ‘Aza Mohamed, 44.

Menurut Noor Azam, neneknya masih mampu mengingati kisah-kisah lama dengan baik.

“Saya memang rapat dengan nenek kerana dia menjaga saya sejak kecil sehingga berumur 12 tahun sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

“Saya sebelum ini tinggal Semenyih, Selangor sebelum ambil keputusan berhenti kerja untuk balik ke sini bersama keluarga untuk menjaga nenek,” kongsinya.

Suka berkebun sejak usia muda

“Alhamdulillah, walaupun dah 100 tahun, kesihatan saya masih baik. Tak ada kencing manis, darah tinggi atau penyakit kronik lain. Cuma pendengaran kurang sikit”.

Demikian kata pesara pegawai imigresen, Abdul Hamid Abu, 100, yang berasal dari Kampung Rawa dekat Changlun, Kedah namun kini menetap bersama anak keempatnya di Kampung Padang Halban.

Abdul Hamid mempunyai lebih 20 cicit daripada enam anak hasil perkahwinan dengan isteri tercinta yang baharu meninggal dunia dua tahun lalu pada usia 88 tahun.

Menurutnya, kecergasan dan kesihatan­ yang baik ketika ini berkait rapat dengan gaya hidup diamalkan sejak usia muda selain sangat menjaga pemakanan.

“Saya suka berkebun sejak dari muda lagi, cuma sejak kebelakangan ini saya upah orang untuk bersihkan kebun. Kalau tidak, semua saya buat sendiri selagi terdaya.

“Saya juga tak suka makanan manis, juadah hari raya pun saya suka kuih orang lama seperti bahulu berbanding kuih raya moden zaman sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar anak sulung dari tiga beradik itu, usia bukan penghalang untuk dia terus istiqamah berpuasa dan melaksanakan ibadah terutama sepanjang Ramadan apabila masih bersemangat mengerjakan solat tarawih di Masjid Ihya'ulumuddin Pekan Changlun.

"Dari sekolah rendah lagi saya suka ke masjid bersama datuk. Sampai sekarang, solat lima waktu pun seboleh-bolehnya saya mahu berjemaah di masjid," kata Abdul Hamid.

Menurutnya, setiap kali pagi raya sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, dia akan menjamah sedikit juadah kegemarannya iaitu ketupat palas dan serunding daging.

“Dua menu ini adalah juadah yang wajib ada setiap kali hari raya. Kemudian selepas solat saya akan beraya dengan anak dan cucu cicit di rumah,” katanya.

Sementara itu, menurut anak keempatnya, Rosli Abd Hamid, 70, dia mengambil keputusan bersara awal dua tahun demi menjaga kedua ibu bapa.

"Bagaimanapun ibu meninggal dua tahun lalu dan sekarang saya menghabiskan masa untuk berbakti kepada bapa saya.

"Anak saya juga belikan sebuah kereta Perodua Myvi untuk memudahkan saya membawa datuk mereka ke masjid, jadi rutin kami berdua banyak dihabiskan di masjid yang terletak tidak jauh dari rumah kami," ujarnya.

Rosli yang juga bekas inspektor kesihatan berkata, bapanya sangat gemar solat berjemaah di masjid jika berdaya sehingga menyebabkan dia dikenali dalam kalangan penduduk di Pekan Changlun.

"Ayah saya juga adalah bekas imam di masjid ini. Sehingga sekarang setiap kali tiba waktu solat, dia dah siap tunggu saya.

“Ayah sentiasa memakai jam di tangan, jadi dia tahu waktu bila nak siap dan tunggu saya. Alhamdulillah, ayah juga masih mampu berdiri ketika solat," katanya.

Rosli memberitahu, sepanjang Ramadan, dia dan bapanya berbuka puasa bersama jemaah lain di masjid sebelum pulang seketika untuk berehat dan kembali semula bagi solat tarawih.

"Saya agak sebak apabila bercerita tentang ayah saya, saya harap kami berdua masih diberikan waktu yang panjang untuk bersama-sama beribadat dan menghabiskan usia senja bersama," tambahnya.

'Rahsia sihat saya, selalu baca al-Quran'

Biarpun usianya hampir mencecah satu abad, seorang warga emas, Esah Ismail, 97, masih sihat dan mampu melakukan kerja ringan di rumah di Kampung Jeram dekat Kuala Nerus, Terengganu.

“Rahsia sihat saya, selalu baca al-Quran. Syukurlah, penglihatan saya masih jelas untuk baca ayat-­ayat suci al-Quran,” kata ibu kepada lapan anak itu yang kini mempunyai 51 cucu, 66 cicit dan seorang piut.

Menurut Esah, suaminya, Allahyarham Bakar Embong meninggal dunia pada usia 38 tahun kerana kecederaan terkena bidasan kayu balak semasa menebang pokok di Ajil, Hulu Terengganu dalam kejadian 59 tahun lalu.

Pada zaman muda, Esah bekerja sebagai penjual kain dan barangan kemas dari 1975 hingga 1990 sebelum berhenti kerja apabila salah seorang anaknya, Kelsom Bakar mula menghafaz al-Quran.

“Sayangnya, dia meninggal dunia pada usia 66 tahun sebab kencing manis dan serangan jantung.

“Saya ada lapan anak, empat lelaki, empat perempuan. Tapi lima dah meninggal dunia. Sekarang hanya tiga anak yang masih hidup iaitu Khilaliah, Lijah dan Khairuddin masing-masing umur 60, 74, dan 65 tahun,” jelasnya.

Ujar Esah, sambutan Aidilfitri suatu ketika dahulu amat bermakna kerana semua persiapan dan juadah tradisional disediakan sendiri ahli keluarga.

Katanya lagi, dia sekeluarga memasak lontong, nasi dagang, rendang dan nasi minyak secara bersama-sama dengan makanan kegemaran di hari raya ialah tapai.

“Semua kuih-muih dan juadah buat sendiri, tak ada yang beli.

“Orang-orang tua dulu masa raya akan pakai inai, orang kampung pula ada yang berarak sambil berselawat keliling kampung.

“Tapi sekarang, semua itu dah jarang nampak, macam dah tak ada lagi,” katanya.

Genetik, gaya hidup sihat faktor umur panjang

Menurut Penolong Profesor di Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Intan Aidura Alias, faktor genetik dikenal pasti sebagai penyumbang utama umur panjang bagi golongan centenarian iaitu individu yang mencapai usia 100 tahun ke atas.

“Genetik memainkan peranan besar dalam menentukan jangka hayat seseorang. Ini kerana faktor ini diwarisi dalam keluarga.

“Sekiranya mereka mempunyai adik-beradik yang umurnya mencecah 100 tahun, maka dia juga berpotensi untuk hidup lama.

“Selain itu, faktor epigenetik melibatkan gaya hidup dan persekitaran turut mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, kajian menunjukkan lelaki di Amerika Syarikat yang melakukan aktiviti bertani pada usia 40-an mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding mereka yang tidak aktif.

Ujarnya, bagi wanita pula, penglibatan dalam aktiviti kesihatan dan sosial seperti mendengar radio membantu mengekalkan kecergasan tubuh serta kesihatan mental.

Jelas beliau, pemakanan sihat seperti amalan diet mediterranean yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein turut menyumbang kepada tahap kesihatan golongan berusia.

“Pengambilan makanan seimbang membekalkan zat penting kepada tubuh sekali gus mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi.

“Diet ini juga membantu mengekalkan berat badan ideal dalam menyokong fungsi organ tubuh,” katanya.

Intan Aidura memberitahu, amalan kerohanian seperti solat, doa dan zikir turut memberi kesan kepada kesihatan mental golongan warga emas.

Ini kerana jelas beliau, amalan kerohanian mampu menghidupkan jiwa dan membuatkan seseorang lebih tenang serta menjauhi amalan tidak sihat.

“Zikir juga membantu meningkatkan tahap kesabaran dan mengurangkan tekanan dengan menenangkan sistem saraf badan,” tambahnya.

Intan Aidura bagaimanapun berpendapat, hidup sebagai warga emas berusia 100 tahun bukanlah mudah apabila mereka berdepan pelbagai cabaran dari segi fizikal, mental dan sosial.

“Golongan ini berdepan kesukaran bergerak, mengalami masalah deria seperti penglihatan dan pendengaran yang semakin lemah serta bergantung kepada orang lain,” kata beliau lagi.

Lebih banyak kisah lain

Jerat hutang beli dulu bayar kemudian

Kadar penggunaan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) di Malaysia semakin meningkat kerana mudah diluluskan dan jumlah pengguna BNPL di negara ini mencapai 10.3 juta orang pada 2024.

Bukan biasa-biasa, suri rumah poket tebal

Mereka ini hanyalah suri rumah, namun bijak merebut peluang meningkatkan taraf hidup dan menambah pendapatan keluarga, sekali gus menyumbang kepada aliran ekonomi negara.

Fenomena mati sendirian membimbangkan

Fenomena lebih warga emas di Jepun meninggal dunia keseorangan dikhuatiri melanda Malaysia susulan trend hidup bersendirian dan tidak pernah berkahwin dalam kalangan rakyat berusia 30 tahun ke atas.

Impian anak-anak kanser, 'aku ingin sembuh'

Pada 2024 , kadar kes kanser dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah ialah enam kes bagi setiap 100,000 penduduk dan sebanyak 1,000 kes kanser kanak-kanak baharu dilaporkan.

Jururawat tak sanggup tunggu pencen 60 tahun

Tekanan kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau menjadi antara punca utama jururawat hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding menunggu sehingga umur 60 tahun.

Taktik palsu dokumen, tanahku tiba-tiba milik orang

Penipuan pindah milik tanah semakin menjadi isu yang meruncing di Malaysia dengan sindiket yang beroperasi menggunakan taktik licik dan mengeksploitasi kelemahan sistem pengurusan tanah.

Sinar Karangkraf Sdn Bhd
Lot 1, Jalan Renggam 15/5
Persiaran Selangor Seksyen 15, 40000 Shah Alam
Selangor, Malaysia
03-51017388
editorsh@sinarharian.com.my

Diterbitkan oleh Strategi Kandungan dan Perancang Media pada April 2025