Kasih Bertaut Takdir Tertulis

Kasih Bertaut Takdir Tertulis

Mereka ditakdirkan bertemu jodoh di usia yang dianggap mentah dan menyambut tangisan cahaya mata pertama ketika umur belum pun mencecah 23 tahun.

Dalam kepompong muda yang masih belajar erti dunia, mereka telah memikul amanah menyulam kasih sebagai seorang ibu.

Generasi Z bukan sekadar pewaris zaman, merekalah wira kehidupan, melangkah dengan jiwa waja dan cinta tanpa sempadan.

Setiap ibu muda ini mengharung lorong sarat dugaan. Ada yang menapak menjinjing beban kos sara hidup dan ada juga yang terus berjuang dalam bayang stigma masyarakat.

Ikuti kisah mereka ini dalam sorotan sempena Hari Ibu.

Kewangan cabaran utama kahwin muda

Bergelar ibu di usia muda memberi kelebihan kepada Dayang NurAzmyen Shahrul, 23, untuk lebih matang dalam mengimbangi tanggungjawab kepada suami, anak dan kerjaya.

Pekerja sebuah kilang di Pulau Pinang itu berkata, dia mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu bersama lelaki pilihan, Muhammad Hazani Hamidon ketika masing-masing berumur 20 dan 30 tahun.

Menurutnya, kini mereka dikurniakan anak sulung berusia setahun tujuh bulan, Nur Aufa Delisha Muhammad Hazani dan mengakui menjadi ibu muda bukan satu tugas mudah kerana kos sara hidup semakin meningkat.

"Saya dan suami buat keputusan sendiri untuk berkahwin tanpa paksaan atau desakan oleh sesiapa pun," ujarnya kepada Sinar Harian.

Dayang NurAzmyen menyedari berkahwin muda menyebabkan masa untuk diri sendiri dan bersama rakan-rakan menjadi terhad selain tempoh waktu kerja dari pagi hingga malam.

Dia yang berasal dari Sungai Ara berkata, keletihan pulang bekerja tidak dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab menjaga anak dan kewajipan sebagai isteri.

"Walaupun anak dijaga oleh ibu ketika saya bekerja, tanggungjawab tetap jatuh kepada saya selepas pulang bekerja.

“Bila anak sakit, ibu sering dipersalahkan. Itu adalah antara perkara paling mencabar bagi saya.

"Orang kata nampak senang, tetapi hakikatnya, bukan senang nak senang. Betul lah apa yang orang tua-tua selalu pesan, sekarang saya baru faham,” katanya.

Dayang NurAzmyen menegaskan dia bahagia dengan kehidupan sebagai isteri dan ibu di muda kerana mendapat sokongan suami yang penyayang serta memahami.

Berhubung cabaran kos sara hidup, dia mengakui isu kewangan menjadi beban utama berikutan kos tinggi untuk perbelanjaan keperluan bayi meskipun suaminya juga bekerja.

“Kadang-kadang saya rasa seperti sudah tidak mampu menjadi ibu. Timbul rasa terbeban kerana berkahwin awal. Tapi ini jalan yang saya pilih, jadi saya harus hadapinya.

“Namun saya tetap bersyukur dan berbangga kerana berpeluang merasai pengalaman bergelar ibu pada usia muda.

“Kelebihan menjadi ibu muda, saya dapat memahami pengorbanan seorang ibu sejak awal lagi. Saya juga semakin matang dalam banyak perkara,” ujarnya.

Dayang NurAzmyen menasihati golongan muda agar tidak takut untuk berkahwin awal sekiranya bersedia mental, fizikal dan emosi.

Bahagia tanpa hutang, tekanan melampau

Berbeza dengan gadis seusianya yang masih menuntut di menara gading atau baharu mengenal dunia pekerjaan, Saidatul Aishah Mimi Asri, 21, memilih jalan hidup berkahwin pada usia 18 tahun selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, pada tahun pertama perkahwinan, dia bekerja sebagai kerani di sebuah pusat pengumpulan sawit (REM) sebelum berhenti selepas melahirkan anak sulung, Nur Aisy Mysha yang kini berusia 13 bulan.

Menurutnya, tanpa bergantung penuh kepada bantuan ibu bapa, dia berniaga air minum di gerai kecil depan sambil mengasuh anak.

“Saya mula jual dari jam 3 petang hingga 10 malam. Alhamdulillah, sambutan sangat baik.

"Hasil jualan air ini dapatlah menyumbang serba sedikit kepada keperluan kami anak-beranak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebuk Bengkang, Bagan Datuk.

Ujar Saidatul, suaminya, Muhammad Osama Mohd Ormar, 23, berasal dari Klang tetapi menetap di Kampung Tebuk Haji Tahir dengan jarak rumah mereka kira-kira 500 meter dan kini bekerja di sebuah kedai perkakas rumah.

Tambahnya, keputusan berkahwin muda mendapat restu daripada keluarga kedua belah pihak.

“Ketika itu emak dan abah beri saya pilihan sama ada sambung belajar atau berkahwin. Saya pilih untuk berkahwin.

“Selepas melangkah ke alam perkahwinan, saya akui bukan mudah untuk menyesuaikan diri apatah lahir bergelar seorang ibu pada usia baru menginjak 20 tahun,” ujarnya.

Bagaimanapun, Saidatul melihat dari aspek positif bahawa berkahwin muda banyak membantu mempelajari tanggungjawab mengurus keperluan suami, anak dan rumah.

Menurutnya, rutin harian bermula dari jam 6 pagi dengan menguruskan suami untuk keluar bekerja, mengemas rumah, masak tengah hari dan berniaga.

"Biasanya saya sediakan makan tengah hari awal, sebab nak fokus berniaga kemudian. Suami pula memang balik makan tengah hari di rumah. Kami sangat jaga masa makan bersama," katanya.

Walaupun sibuk, Saidatul Aishah tidak pernah mengeluh malah bersyukur kerana hidup bahagia tanpa terbeban hutang dan tekanan yang keterlaluan.

"Buat masa ini, saya belum ada rancangan untuk sambung belajar. Fokus saya adalah keluarga dan bantu ekonomi rumah tangga," ujarnya.

Suami buat dua kerja demi anak, isteri

Seorang ibu muda, Natiah Balqis Shamsudin, 22, mengakui bergelut untuk mengimbangi mental dan fizikal sepanjang dua tahun mendirikan rumah tangga dengan dikurniakan anak sulung kini berusia 16 bulan.

Ujarnya, tidak pernah terlintas di fikiran untuk berkahwin pada usia 20 tahun memandangkan dia pernah memasang hasrat untuk menceburi bidang kemahiran menjahit selepas tamat belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tijah.

Namun kata Natiah, jodoh adalah rahsia ALLAH SWT apabila diijab kabulkan dengan lelaki pilihan sendiri, Muhammad Zakirullah Sunoto@ Faisal yang ketika itu berusia 24 tahun.

“Saya tidak pernah mendapat tentangan daripada keluarga malah ibu saya yang berstatus ibu tunggal selepas bapa meninggal dunia, lebih menggalakan kami bernikah awal.

"Lagipun mak kata tak elok berkawan lama-lama. Saya juga bersyukur ibu mentua memahami dan turut menyokong perkahwinan ini,” katanya yang tinggal di Peringgit.

Anak bongsu daripada enam beradik itu tidak menafikan terdapat rakan dan saudara-mara yang terkejut dengan keputusan tersebut malah memintanya berfikir secara matang sebelum berkahwin di usia muda.

Tambahnya, takdir ALLAH ada hikmahnya dan kehadiran cahaya mata pertama, Nayla Baheera Muhammad Zakirullah mengubah dirinya daripada seorang pekerja sambilan pengemas bilik kepada suri rumah sepenuh masa.

“Saya mengasuh sendiri anak. Cabaran utama menjadi ibu muda ialah ekonomi, lebih-lebih lagi saya terpaksa berhenti kerja ketika mengandung anak sulung.

“Suami saya juga merupakan anak bongsu tapi sangat bertanggungjawab dan bagi memastikan keperluan kami mencukupi, dia melakukan dua pekerjaan.

“Waktu siang suami bekerja sebagai pengemas bilik dan sebelah malam, dia buat kerja sambilan di kedai makan milik ibu saudaranya di Bachang dan pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 1 pagi," kata Natiah.

Ujarnya, suami bekerja keras terutama bagi menampung perbelanjaan anak yang mencecah RM500 sebulan selain keperluan harian, kereta dan lain-lain.

"Kadang ada terfikir juga untuk cari kerja kerana bulanan untuk susu dan lampin pakai buang sahaja dah RM400, itu belum masuk sewa rumah RM500.

"Jadi ibu muda ni memang kena banyak bersabar kerana kos sara hidup yang meningkat dan harga barang semakin naik," katanya.

Dugaan bergelar ibu tunggal pada usia 20 tahun

Mahligai kasih yang dibina ketika berusia 15 tahun hanya bertahan selama lima tahun dan kini, Afrina Marsya Mohd Mazri menempuh pelbagai dugaan apabila bergelar ibu tunggal kepada dua cahaya mata.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu memilih untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan yang ketika itu berumur 18 tahun.

Afrina yang berasal dari Guchil berkata, dia sering dipandang sinis oleh masyarakat sepanjang bergelar seorang ibu muda ekoran tindakannya berkahwin awal.

"Bila mereka tahu saya sanggup berhenti sekolah kerana ingin berkahwin, ramai yang berfikiran negatif dan memberi tohmahan.

“Hakikatnya kami memilih untuk mendirikan rumah tangga awal walaupun belum matang lagi ketika itu kerana perasaan cinta.

"Pada awalnya keluarga tidak setuju dengan keputusan kami. Tetapi apabila melihat kami sukar berenggang dan sentiasa bersama danbagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, perkahwinan adalah jalan terbaik," katanya.

Menurut ibu kepada Rayyan Haiqal Nik Ahmad, 4, dan Rania Hanim, 2, pengalaman hamil seawal usia 16 tahun merupakan kenangan paling indah dalam hidup.

Ujarnya, ramai yang tidak menyedari kerana dia berbadan kecil dan kurus.

Afrina Marsya memberitahu, sepanjang mengandung dia langsung tidak mempunyai alahan atau kesukaran melahirkan namun detik sepanjang anak-anak membesar memberikan sedikit tekanan.

Tambahnya, anak sulung lelaki sedikit nakal dan jarak usia rapat dengan anak kedua membuatkan dia penat.

"Begitu juga dari segi kewangan, keluarga banyak membantu kerana bekas suami hanya bekerja sebagai pemandu lori ais batu. Sedangkan saya bekerja membuat jualan dalam talian, pendapatan tidak menentu.

"Berkahwin dan bergelar ibu di usia muda memerlukan kesabaran, ketenangan dan mental yang kuat kerana kami masih berjiwa muda selain perlu tabah dengan penerimaan masyarakat.

"Bila keluar bersama anak-anak, ramai yang beranggapan mereka ialah adik-adik saya sehingga ada yang cuba mengorat," katanya lagi.

Menurut Afrina Marsya, walaupun terpaksa memilih jalan perpisahan dengan suami namun hubungan mereka berdua masih baik demi anak-anak.

"Saya tidak pernah menyesal pilih berhenti sekolah, berkahwin, mempunyai anak dan bergelar ibu tunggal di usia muda," katanya.

Ibu muda kena lebih matang, bersama-sama urus keluarga

“Apabila sudah buat keputusan untuk berkahwin awal dan jadi seorang ibu, saya kena matang urus hidup keluarga."

Demikian kata Nur Alia Natasya Abdul Hafiz, 23, yang mendirikan rumah tangga bersama rakan sebaya, Zul Fadli Fahmi Mohd Ishak ketika usia mereka masing-masing 20 tahun dan kini dikurniakan seorang cahaya mata dua tahun.

Menurutnya, keputusan berkahwin di usia muda dengan pilihan hati bukan sesuatu yang mudah kerana menerima pelbagai reaksi daripada keluarga dan masyarakat.

“Memang ada cabaran terutama pandangan orang sekeliling. Ada yang kata saya terlalu muda, patut fokus belajar dan bina kerjaya dulu.

“Tapi saya yakin dengan keputusan itu sebab kenal pasangan saya dan kami sama-sama bersedia untuk pikul tanggungjawab.

"Sebenarnya umur bukan penentu kematangan atau kejayaan seseorang dan saya sedang buktikan perkara tersebut,” katanya yang menetap di Batu Lima, Jalan Gambang di sini.

Ujar anak ketujuh daripada sembilan beradik itu, cabaran terbesar dihadapinya sebagai ibu muda ialah membahagikan masa antara tugas sebagai ibu, isteri dan usahawan tanaman cendawan.

Menurutnya, pengurusan masa sangat penting supaya semua tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik tanpa mengabaikan mana-mana aspek penting.

“Kadang-kadang memang sangat letih tapi sebagai ibu, kita kena kuat dan positif sebab mahu beri yang terbaik untuk keluarga.

“Saya pun bekerja keras kerana mahu berjaya dalam perniagaan supaya dapat bantu suami, jadi demi mereka, saya berusaha sehabis baik,” katanya.

Nur Alia antara tenaga pengajar dalam bidang pertanian di negeri ini memberitahu, sejak awal perkahwinan dia dan suami memilih untuk berdikari dan berusaha menambah kemahiran demi kelangsungan hidup.

Dia pernah menasihati suaminya supaya menyambung pengajian dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kini sudah pun bekerja di sebuah kilang di Gebeng dengan jawatan lebih baik dan dibayar gaji mengikut kemahiran.

"Saya pula walaupun hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tapi mula belajar berniaga kecil-kecilan dan mencari ilmu sendiri.

“Kini kami berjaya mengumpul harta sendiri," ujarnya lagi.

Ditanya mengenai kelebihan berkahwin awal, Nur Alia berkata, pengalaman itu banyak mengajar tentang kehidupan dan tanggungjawab serta membentuk dirinya menjadi lebih matang menguruskan cabaran harian.

"Bila kita membesar bersama anak, setiap jatuh bangun tu rasa lebih bermakna, seolah-olah saling menguatkan antara satu sama lain.

"Suami banyak membantu dari segi mental dan fizikal. Saya luahkan apa saya rasa dan kami sama-sama belajar mengawal emosi,” katanya.

Kegagalan rumah tangga bukan disebabkan faktor umur

Tiada fakta kukuh membuktikan perkahwinan muda akan berakhir dengan perceraian, sebaliknya ramai pasangan yang mendirikan rumah tangga pada usia sedemikian terus bahagia meneruskan kehidupan ­masing-masing.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, kejayaan sesebuah perkahwinan bergantung kepada kecekalan pasangan dalam mengharungi cabaran dan persefahaman, selain ketentuan takdir ALLAH SWT.

“Oleh itu, masyarakat perlu saling menyokong dan pada masa sama menasihati ­anak-anak muda yang berkahwin awal supaya hidup dengan ilmu untuk lebih bahagia.

“Tidak wajar untuk kita meletakkan kegagalan rumah tangga pada faktor umur semata-mata, sedangkan ramai sahaja pasangan muda hidup bahagia,” katanya.

Mohd Izhar Ariff yang juga seorang pendakwah berkata, Islam tidak menetapkan had umur tertentu untuk seseorang itu bernikah, sebaliknya individu tersebut perlu kemampuan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri.

Menurutnya, Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan orang muda yang mempunyai kemampuan untuk segera berkahwin agar kehormatan diri, mata, kemaluan dan semua tingkah laku terus terjaga.

“Nasihat saya, kerja kuat cari rezeki, jangan malu bertanya kepada pakar jika ada masalah. Banyakkan mengambil ilmu daripada orang yang berpengalaman supaya hidup lebih barakah,” katanya.

Lebih banyak kisah lain

Gaji tak cukup sara hidup?

Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim mendedahkan kadar gaji sebenar rakyat Malaysia menyusut hampir tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun.

Rahsia moyang usia 100 tahun

Kisah suka duka individu berusia satu abad yang masih sihat menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang. Mereka menyaksikan dan melalui perubahan zaman.

Jerat hutang beli dulu bayar kemudian

Kadar penggunaan skim BNPL di Malaysia semakin meningkat kerana mudah diluluskan dan jumlah pengguna BNPL di negara ini mencapai 10.3 juta orang pada 2024.

Suri rumah poket tebal

Mereka ini hanyalah suri rumah namun bijak merebut peluang meningkatkan taraf hidup dengan menambah pendapatan diri dan keluarga.

Kes mati sendirian membimbangkan

Fenomena ramai warga emas di Jepun mati keseorangan dikhuatiri melanda Malaysia susulan trend hidup bersendirian dan tidak berkahwin dalam kalangan rakyat berusia 30 tahun ke atas.

Impian anak-anak kanser

Pada 2024 , kadar kes kanser dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah ialah enam kes bagi setiap 100,000 penduduk dan sebanyak 1,000 kes kanser kanak-kanak baharu dilaporkan.

Tak sanggup tunggu pencen 60 tahun

Tekanan kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau menjadi antara punca utama jururawat hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding menunggu sehingga umur 60 tahun.

Tanahku tiba-tiba milik orang

Penipuan pindah milik tanah persendirian semakin meruncing dengan kewujudan sindiket yang beroperasi menggunakan taktik licik dan mengeksploitasi kelemahan sistem pengurusan tanah.

Sinar Karangkraf Sdn Bhd
Lot 1 Jalan Renggam 15/5
Off Persiaran Selangor Seksyen 15
40000 Shah Alam
Selangor, Malaysia
03-51017388
editorsh@sinarharian.com.my

Diterbitkan oleh Strategi Kandungan dan Perancang Media pada Mei 2025