

GAZA
KEBULURAN

Krisis kemanusiaan di Genting Gaza semakin memburuk selepas 22 bulan konflik berlarutan dengan kebuluran dahsyat akibat kekurangan bekalan asas.
Harga barangan asas melonjak lebih 300 peratus sejak serangan balas Israel, manakala harga gula mencecah AS$72 (RM300) sekilogram pada Jun iaitu peningkatan 6,000 peratus berbanding September 2023.
Sekatan ke atas Gaza sekitar Mac hingga Mei lalu turut memburukkan lagi keadaan, malah Tabung Kanak-Kanak PBB, Program Makanan Sedunia, Pertubuhan Makanan dan Pertanian memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk mengelakkan krisis kebuluran sepenuhnya.




“Ibu bapa di Gaza kini bergelut untuk menyelamatkan anak-anak mereka yang kebuluran,” - Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq

Penduduk menderita akibat kebuluran melampau
Menurut portal UN News, Timbalan Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq ketika bercakap dalam taklimat di New York memaklumkan masih ada penduduk yang terkorban ketika mencari bantuan.
Malah angka kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan terus meningkat dengan situasi ibu bapa kini bergelut untuk menyelamatkan anak-anak mereka yang kelaparan.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) pula menyatakan bahawa walaupun mereka menggunakan setiap peluang yang ada untuk menghantar bekalan semasa jeda unilateral, namun skala keperluan jauh melebihi apa yang berjaya disalurkan.
“Gencatan senjata kekal amat diperlukan ketika ini,” tegas Haq.
Jelas beliau, akses masuk menjadi halangan utama penyaluran bantuan ke Gaza kerana penghantaran melalui lintasan Kerem Shalom/Karem Abu Salem memerlukan pelbagai lapisan kelulusan daripada pihak berkuasa Israel.
Rahaf Ayyad, kanak-kanak perempuan Palestin berusia 12 tahun yang mengalami kekurangan zat makanan, menunjukkan gambar lamanya ketika berada di sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan di al-Rimal, Gaza Tengah.
Rahaf Ayyad, kanak-kanak perempuan Palestin berusia 12 tahun yang mengalami kekurangan zat makanan, menunjukkan gambar lamanya ketika berada di sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan di al-Rimal, Gaza Tengah.
Kebuluran melampau menghantui kanak-kanak turut disuarakan Pengurus Komunikasi UNICEF, Ricardo Pires yang baharu pulang dari Gaza minggu lalu.
“Ia benar-benar bersifat apokalips. Kanak-kanak cedera dan terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan dan bantuan, serta menderita akibat kelaparan.
“Kanak-kanak mengalami dehidrasi. Mereka terpaksa menggunakan air tercemar yang menyebabkan mereka jatuh sakit, cirit-birit dan ada beberapa kes meningitis.
“Ia benar-benar satu badai penderitaan yang 'sempurna' bagi kanak-kanak,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mendakwa Israel melakukan genosid dan menegaskan bahawa Gaza berada di ambang kebuluran penuh, seperti yang turut diperingatkan oleh PBB.
Konflik yang berlarutan di negara berkenaan turut menyebabkan kemusnahan menyeluruh terhadap infrastruktur dan bekalan makanan dengan harga barangan asas dilaporkan meningkat lebih 300 peratus.
“Gambar dari Gaza lebih kejam daripada kem Nazi. Rakyat dibunuh dengan kelaparan dan kehausan di depan mata dunia,” kata Erdogan dalam sidang akhbar di Ankara.
PBB turut melaporkan lebih 120 lori bantuan berjaya dihantar ke dalam Gaza pada Ahad lalu namun jumlah itu masih jauh daripada keperluan sebenar sebanyak 500 hingga 600 lori sehari.
Sebahagian besar bantuan yang dihantar dirampas, manakala pengawal bersenjata dilihat melepaskan tembakan terhadap orang awam yang sedang beratur mendapatkan tepung dan bekalan asas.

Angka korban, kematian akibat kebuluran terus meningkat
Sekurang-kurangnya 61,020 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan genosid oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 termasuk 188 kematian akibat kebuluran dengan 94 kanak-kanak.
Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin pada Selasa, lapan kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Pada masa sama, sebanyak 87 mayat dibawa ke hospital manakala 644 lagi cedera dengan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang cedera akibat serangan Israel meningkat kepada 150,671 orang.
Selain itu, seramai 52 rakyat Palestin terbunuh dan 352 lagi cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah korban ketika mendapatkan bantuan meningkat kepada 1,568 orang, dengan lebih 11,230 yang lain cedera sejak 27 Mei.
Pada Jumaat, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa kanak-kanak di Gaza sedang mati pada kadar 'yang tidak pernah berlaku sebelum ini' susulan kebuluran dan keadaan yang semakin merosot akibat perang berterusan.
Jasad atlet Palestin, Atif Ebu Hatir,17, meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan ditempatkan di bilik mayat Hospital Al Helou. Foto - Agensi
Jasad atlet Palestin, Atif Ebu Hatir,17, meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan ditempatkan di bilik mayat Hospital Al Helou. Foto - Agensi
Menurut anggaran Program Makanan Sedunia (WFP), satu daripada setiap empat rakyat Palestin di Gaza kini berdepan keadaan seperti kebuluran, manakala 100,000 wanita dan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut.
Tentera Israel menyambung semula serangannya ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lalu dan sejak itu telah membunuh 9,519 orang serta mencederakan 38,630 yang lain.
Ia sekali gus menggagalkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang mula berkuat kuasa pada Januari. - Bernama-Anadolu

“Saya dapat lima kilogram tepung dan kongsi dengan jiran. Tapi ramai yang cedera dan mati ketika cuba dapatkan makanan,” kata Amir al-Rash, 33, yang tinggal di khemah di Tel al-Hawa.

Kisah Keluarga Sobh: Bertarung untuk terus hidup di Gaza
Selepas beberapa kali dipaksa berpindah semasa perang Israel ke atas Gaza, keluarga Sobh kini berlindung di sebuah kem pantai di barat Bandar Gaza.
Fadi Sobh, 30, yang sebelum ini merupakan seorang penjaja jalanan menggambarkan khemahnya sebagai terlalu panas untuk ditanggung pada musim panas.
Isterinya, Abeer, 29, pula mengutip air laut bagi meneruskan kehidupan bersama enam anak masih kecil kerana bekalan air bersih sangat terhad.
Abeer and Fadi Sobh bersama enam anak mereka berlindung di sebuah kem di Bandar Gaza. Foto: Agensi
Abeer and Fadi Sobh bersama enam anak mereka berlindung di sebuah kem di Bandar Gaza. Foto: Agensi
Anak-anak mereka mandi secara bergilir dengan berdiri dalam besen aluminium menggunakan air masin.
Anaknya, Hala yang berusia sembilan bulan menangis apabila air masin itu menyakitkan mata, manakala adik-beradiknya menahan ketidakselesaan tanpa mengadu.
Selain itu, Abeer tiada pilihan selain memberi Hala minum air kosong dalam botol bayi. Pada hari yang bernasib baik, dia mempunyai kacang dal untuk dikisar menjadi serbuk dan dicampur dengan air.
“Satu hari terasa seperti seratus hari, kerana kepanasan musim panas, kelaparan dan tekanan,” katanya.
Fadi akan pergi ke dapur kem perlindungan itu, kadang-kadang bersama salah seorang anaknya.
Dapur itu hanya beroperasi kira-kira seminggu sekali dan tidak pernah cukup untuk menampung jumlah penghuni kem tersebut.
“Tetapi makanan jarang sekali ada di sana,” ujarnya.
Fandi akan tetap menunggu sepanjang hari meskipun pulang dengan tangan kosong dan anak-anaknya terpaksa tidur dalam kelaparan.
Abeer akan memandikan anak-anak kecilnya secara bergilir dengan berdiri di dalam besen aluminium menggunakan air laut. Foto - Agensi
Abeer akan memandikan anak-anak kecilnya secara bergilir dengan berdiri di dalam besen aluminium menggunakan air laut. Foto - Agensi
Abeer kadang-kadang pergi ke trak bantuan berhampiran lintasan Zikim, sama ada seorang diri atau bersama Youssef, salah seorang anak mereka.
“Kebanyakan orang di sana adalah lelaki. Kadang-kadang saya berjaya dapatkan makanan, tetapi biasanya, saya pulang dengan tangan kosong,” katanya. - Al Jazeera


Bagaimana kebuluran membunuh tubuh manusia di Gaza?
Berdasarkan laporan portal berita Al Jazeera, pelbagai agensi bantuan menyatakan jumlah bantuan terhad yang dibenarkan masuk ke Gaza pada minggu lalu tidak mungkin dapat mengelakkan kebuluran yang telah lama diberi amaran oleh para pakar.
Kebanyakan kematian berkaitan kebuluran sebelum ini melibatkan kanak-kanak dan bayi, namun kini semakin ramai golongan warga emas yang menjadi mangsa.
“Keadaannya amat mengerikan,” kata Dr James Smith, seorang doktor kecemasan yang pernah menjadi sukarelawan dua kali di Gaza.
Tambah beliau, ia salah satu cara paling tidak berperikemanusiaan dan kejam untuk membunuh.
“Kebuluran sentiasa berlaku hasil tindakan seseorang terhadap orang lain. Ia sengaja dipanjangkan untuk memaksimumkan penderitaan,” katanya.
Warga Palestin yang dipindahkan, Salim Asfour, 85, mengalami kekurangan zat makanan yang teruk sehingga menyebabkan beliau kehilangan lebih 40kg. Foto - Agensi
Warga Palestin yang dipindahkan, Salim Asfour, 85, mengalami kekurangan zat makanan yang teruk sehingga menyebabkan beliau kehilangan lebih 40kg. Foto - Agensi
Pada peringkat permulaan selepas beberapa hari tidak mendapat makanan, tubuh manusia akan mula memecahkan otot dan tisu lain untuk mendapatkan tenaga.
Tidak lama kemudian, metabolisme menjadi perlahan dan keupayaan untuk mengawal suhu badan hilang sebelum fungsi buah pinggang terjejas.
Apa yang paling kritikal di Gaza ialah sistem imun manusia yang kebuluran itu akan gagal berfungsi dan keupayaan tubuh untuk pulih daripada kecederaan turut menurun.
Apabila semua simpanan tenaga dalam badan habis, tubuh kehilangan keupayaan untuk menyalurkan nutrien kepada organ dan tisu penting. Akibatnya, organ utama seperti jantung dan paru-paru menjadi kurang berkesan serta otot mengecil.
Individu terbabit akan berasa sangat lemah dan akhirnya apabila simpanan protein dalam tubuh habis digunakan, tisu-tisu badan mula terurai dan ketika itu, kematian semakin menghampiri.
Serangan penyakit itu bermula dengan kehilangan pergerakan otot secara tiba-tiba yang biasanya bermula daripada kaki sebelum merebak ke bahagian atas tubuh. Foto - Agensi
Serangan penyakit itu bermula dengan kehilangan pergerakan otot secara tiba-tiba yang biasanya bermula daripada kaki sebelum merebak ke bahagian atas tubuh. Foto - Agensi
Dianggarkan bahawa seorang dewasa yang biasanya cukup zat dan sihat boleh bertahan tanpa makanan antara 45 hingga 61 hari.
Namun, selepas 22 bulan perang, hampir tiada siapa di Gaza yang boleh digambarkan sebagai cukup zat atau sihat.
Menurut seorang pakar bedah Palestin-British yang telah menghabiskan 43 hari bertugas di Gaza, Dr Ghassan Abu-Sittah, seorang kanak-kanak akan mati lebih awal akibat kebuluran.
“Kehilangan otot dan lemak berlaku hampir serta-merta. Begitu juga, golongan warga emas juga akan mati dengan lebih cepat.
“Namun, bukan faktor usia sahaja. Terdapat juga perbezaan dari segi sosial.
“Kini terdapat ribuan anak yatim yang berkeliaran di Gaza. Tiada siapa yang boleh memberi mereka makan atau sanggup mengambil risiko mendapatkan makanan untuk mereka, jadi mereka lebih berisiko untuk mati,” katanya.
Apa akan berlaku selepas kebuluran?
Keadaan persekitaran yang kotor dan tercemar menyebabkan wabak mudah merebak di 'bandar khemah' yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin. Foto - Agensi
Keadaan persekitaran yang kotor dan tercemar menyebabkan wabak mudah merebak di 'bandar khemah' yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin. Foto - Agensi
GENTING GAZA - Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran tentang risiko penularan wabak Sindrom Guillain-Barre (GBS) di wilayah itu di tengah-tengah krisis kebuluran dan malnutrisi yang kini mencapai tahap kritikal.
Ketua Pengarah kementerian itu, Munir al-Bursh berkata, data menunjukkan berlaku peningkatan ketara kes lumpuh lembik akut dalam kalangan kanak-kanak dan ia semakin membimbangkan kerana tiada rawatan tersedia untuk penyakit tersebut.
Golongan kanak-kanak paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit berjangkit. Foto - Agensi
Golongan kanak-kanak paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit berjangkit. Foto - Agensi
"Sumber air tercemar dikenal pasti sebagai punca utama GBS. Serangan penyakit itu bermula dengan kehilangan pergerakan otot secara tiba-tiba yang biasanya bermula daripada kaki sebelum merebak ke bahagian atas tubuh.
"Kanak-kanak paling berisiko tinggi," jelasnya.
Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai 'kematian beramai-ramai' selain hujan bom dan peluru bertalu-talu yang terus melanda Gaza.
Data menunjukkan berlaku peningkatan ketara kes lumpuh lembik akut dalam kalangan kanak-kanak. Foto - Agensi
Data menunjukkan berlaku peningkatan ketara kes lumpuh lembik akut dalam kalangan kanak-kanak. Foto - Agensi
"Keadaan hidup yang teruk di enklaf itu dengan penduduk Palestin terpaksa bersesak di kawasan yang berbaki 18 peratus hingga menyebabkan kira-kira 40,000 orang menetap dalam lingkungan setiap satu kilometer persegi.
"Situasi tersebut mengakibatkan penyakit lebih mudah merebak," ujarnya lagi.

Krisis makanan capai tahap terburuk - PBB
NEW YORK - Setiausaha Agung PBB, António Guterres berkata, Gaza menghadapi risiko kebuluran yang serius apabila penunjuk penggunaan makanan dan pemakanan telah mencapai tahap terburuk sejak permulaan konflik, menurut data yang dikongsi dalam Amaran Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) terkini.
“Amaran IPC terkini mengesahkan apa yang kami bimbangi Gaza berada di ambang kebuluran. Fakta-fakta ada dan ia tidak dapat dinafikan.
“Rakyat Palestin di Gaza sedang mengalami malapetaka kemanusiaan yang epik. Ini bukan amaran. Ia adalah realiti yang berlaku di hadapan mata kita,” kata Guterres.
Data menunjukkan bahawa lebih daripada satu daripada tiga orang (39 peratus) kini menjalani kehidupan harian pada satu masa tanpa makan.
Lebih daripada 500,000 orang - hampir satu perempat daripada penduduk Gaza - mengalami ‘keadaan seperti kebuluran’, manakala penduduk selebihnya menghadapi tahap kelaparan kecemasan. - Agensi
Penduduk Palestin menerima sup lentil di pusat agihan makanan di Bandar Gaza pada 2 Ogos 2025. (Foto oleh Omar AL-QATTAA / AFP)
Penduduk Palestin menerima sup lentil di pusat agihan makanan di Bandar Gaza pada 2 Ogos 2025. (Foto oleh Omar AL-QATTAA / AFP)

Harga tepung cecah RM258 sekilogram
Krisis kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap paling kritikal apabila ratusan ribu penduduk, khususnya bayi dan kanak-kanak, berdepan ancaman kebuluran serta kematian akibat kekurangan makanan dan bekalan air bersih.
Aktivis kemanusiaan Gaza, Nurul Ain Haron, 39, berkata, situasi kali ini jauh lebih buruk berbanding sebelum ini kerana harga barangan asas melonjak mendadak manakala bantuan luar gagal menembusi sekatan yang dikenakan Israel.
“Ini bukan sekadar krisis makanan, tetapi kebuluran yang meragut nyawa setiap hari. Bayi dan kanak-kanak paling ramai syahid akibat kekurangan zat dan kelaparan,” katanya kepada Sinar Harian.
Nurul Ain yang sebelum ini menetap di Gaza berkata, sebahagian besar rakyat Palestin tidak mampu membeli keperluan asas kerana harganya terlalu mahal.
Menurut beliau berdasarkan senarai harga terkini di Gaza setakat 18 Julai lalu, satu kilogram tepung gandum kini mencecah AS$55 (RM258), gula AS$120 (RM564), beras AS$45 (RM2110); pasta, kentang dan tomato masing-masing AS$30 (RM141), serta kacang dal AS$20 (RM94).
Harga ini katanya langsung tidak masuk akal bagi sebuah kawasan yang ekonominya lumpuh dan penduduknya tiada pendapatan tetap.
Seorang kanak-kanak Palestin membawa sup kacang merah yang diagih sukarelawan di Rafah, selatan Genting Gaza. - AFP
Seorang kanak-kanak Palestin membawa sup kacang merah yang diagih sukarelawan di Rafah, selatan Genting Gaza. - AFP
Sebagai perbandingan, harga tepung gandum di Malaysia cuma sekitar RM3 sekilogram, gula (RM2.85) dan beras (RM2.60).
“Kalau beli dalam kuantiti banyak mungkin dapat sedikit murah, tetapi majoriti rakyat Gaza memang langsung tak ada wang untuk membeli. Kebanyakan mereka tiada keluarga di luar negara yang boleh membantu,” katanya yang tinggal di Ajman, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Tambahnya, kebuluran ini tidak hanya menjejaskan kanak-kanak tetapi turut meragut nyawa warga emas dan orang dewasa.
“Saya masih ingat, seminggu atau dua minggu lepas, bapa mertua saya telefon. Dia kata di kawasan dia (al-Mawasi, Khan Younis) sahaja tujuh orang syahid akibat kelaparan, lima daripadanya kanak-kanak dan dua lagi orang dewasa,” jelasnya.
Tambah memilukan katanya apabila bayi meninggal dunia kerana tiada susu dan makanan bayi di pasaran.
“Bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada keluarga miskin turut dirampas pihak tidak bertanggungjawab dan dijual pada harga tinggi.
“Ada kes bantuan seperti susu bayi masuk ke Gaza tetapi kemudiannya dicuri dan dijual dengan harga sangat mahal. Ini memburukkan lagi keadaan kerana ramai keluarga tidak mampu membelinya,” katanya.
Kanak-kanak Palestin berebut mendapatkan makanan panas di dapur amal di kawasan Mawasi, Khan Yunis, selatan Genting Gaza. - AFP
Kanak-kanak Palestin berebut mendapatkan makanan panas di dapur amal di kawasan Mawasi, Khan Yunis, selatan Genting Gaza. - AFP
Bekalan air bersih juga semakin sukar diperoleh, menurut Nurul Ain, satu lori air berkapasiti 5,000 liter dijual pada harga sekitar RM1,000 hingga RM1,200 bergantung kepada kadar tukaran dan komisen pihak perantara.
Bantuan daripada kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat juga gagal sampai kepada rakyat Gaza secara menyeluruh. Ada laporan menyayat hati apabila rakyat Palestin yang cuba mendapatkan bantuan ditembak.
“Ada bantuan dari AS masuk, tetapi apabila orang ramai berasak-asak ke lokasi bantuan, mereka ditembak. Ada yang selamat, ada yang cedera dan ada yang syahid. Ini bukan dilakukan rakyat Gaza, tetapi oleh pihak yang mahu sabotaj proses penyampaian bantuan,” katanya.
Nurul Ain yang aktif di TikToknya untuk mengumpul bantuan berkata, pihak antarabangsa perlu segera bertindak dengan lebih tegas untuk menamatkan sekatan dan memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Orang ramai juga boleh menyumbang menerusi akaun Maybank Nurul Ain Haron 1644 9029 6581.
nurul.
Lana Salih Juha, 5, yang menghidap kekurangan zat makanan serius di Gaza. Sumber Foto: AGENSI/ AFP
Lana Salih Juha, 5, yang menghidap kekurangan zat makanan serius di Gaza. Sumber Foto: AGENSI/ AFP





“Ini adalah cara paling tidak bermaruah dan bertujuan untuk membunuh. Kebuluran berpanjangan dan memaksimumkan penderitaan,” - Doktor sukarelawan di Gaza, Dr James Smith.

Bantuan rakyat Malaysia tiba selepas 6 bulan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,400 tan bantuan kemanusiaan sumbangan rakyat Malaysia berjaya menembusi Gaza awal pagi Isnin melalui pintu masuk Jambatan Raja Hussein di Jordan.
Penghantaran tersebut merupakan kejayaan pertama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia merentasi sempadan sejak Israel menutup semua laluan masuk ke Palestin pada 2 Mac lepas.
Pengarah Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM), Nik Marina Hussin berkata, bantuan itu digerakkan melalui konvoi 60 trak dikendalikan Tentera Darat Jordan (JAF), dengan kerjasama Program Makanan Sedunia (WFP) dan World Central Kitchen.
“Bantuan berupa kotak makanan dan susu bayi ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang tersimpan di gudang di Jordan sejak Mac lalu berikutan penutupan sempadan, kemudian diserahkan segera kepada JAF.
“Difahamkan, konvoi diketuai JAF bersama agensi antarabangsa berjaya memasuki Gaza awal pagi Isnin dan KHOM antara yang terawal menyerahkan bantuan kepada penduduk yang kini berdepan krisis kebuluran,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pihak berkuasa Jordan pada Sabtu lepas memaklumkan kelulusan rasmi pelepasan bantuan KHOM ke Gaza, menjadikan NGO itu yang pertama dari Malaysia berjaya menyalurkan bantuan rentas sempadan ke wilayah bergolak itu dalam tempoh hampir enam bulan.
Kotak bantuan “Food for Gaza” sumbangan rakyat Malaysia disusun untuk dihantar ke utara Gaza menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM), selepas sempadan Gaza ditutup sepenuhnya sejak Feb lalu. Sebanyak 2,400 tan bantuan makanan dan susu bayi berjaya menembusi Gaza pada 28 Julai menerusi King Hussein Bridge, Jordan. Konvoi 60 trak kemanusiaan yang dikendalikan Tentera Darat Jordan (JAF) dengan kerjasama Program Makanan Sedunia (WFP) dan World Central Kitchen itu mendapat pelepasan menerusi saluran komunikasi daripada pihak berkuasa Jordan pada 26 Julai lepas. -BERNAMA
Kotak bantuan “Food for Gaza” sumbangan rakyat Malaysia disusun untuk dihantar ke utara Gaza menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM), selepas sempadan Gaza ditutup sepenuhnya sejak Feb lalu. Sebanyak 2,400 tan bantuan makanan dan susu bayi berjaya menembusi Gaza pada 28 Julai menerusi King Hussein Bridge, Jordan. Konvoi 60 trak kemanusiaan yang dikendalikan Tentera Darat Jordan (JAF) dengan kerjasama Program Makanan Sedunia (WFP) dan World Central Kitchen itu mendapat pelepasan menerusi saluran komunikasi daripada pihak berkuasa Jordan pada 26 Julai lepas. -BERNAMA
Nik Marina turut merakamkan penghargaan kepada Raja Jordan, Raja Abdullah II, atas ketegasan baginda menerusi titah diraja yang membolehkan bantuan berkenaan dihantar ke Gaza.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada JAF, Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan (JHCO) dan semua agensi yang membantu memastikan bantuan KHOM diberi keutamaan.
“Jeda politik di Gaza sangat rapuh. Sebelum perang pun, wilayah itu memerlukan tidak kurang 1,000 trak makanan sehari, apatah lagi dalam keadaan kritikal kini apabila kebuluran dijadikan senjata perang,” katanya. - Bernama

FLOTILA AWAM BESAR-BESARAN BELAYAR UNTUK PECAHKAN SEKATAN ISRAEL
TUNIS, Tunisia/ISTANBUL - Satu flotila awam berskala besar dijangka belayar ke Semenanjung Gaza pada penghujung Ogos ini dalam usaha terbaharu untuk memecahkan sekatan Israel yang menyebabkan keseluruhan penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Bercakap dalam satu sidang media di Tunis yang dianjurkan oleh Koordinasi Tindakan Bersama untuk Palestin - sebuah platform penyelarasan masyarakat madani - ahli Flotila Global Sumud memaklumkan yang aktivis dari 44 negara mendaftar untuk menyertai usaha bersepadu ini.
"Musim panas ini, puluhan kapal, besar dan kecil, akan berlayar dari pelabuhan di seluruh dunia dan menuju ke Gaza dalam konvoi awam terbesar seumpamanya dalam sejarah," kata penganjur Haifa Mansouri seperti yang dilaporkan oleh Anadolu Ajansi.
Kapal Handala milik Freedom Flotilla Coalition berlepas dari Pelabuhan Gallipoli menuju ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan dan memecah sekatan Israel, di Itali, pada 20 Julai 2025. [Valeria Ferraro – Anadolu Agency]
Kapal Handala milik Freedom Flotilla Coalition berlepas dari Pelabuhan Gallipoli menuju ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan dan memecah sekatan Israel, di Itali, pada 20 Julai 2025. [Valeria Ferraro – Anadolu Agency]
Konvoi ini menghimpunkan empat inisiatif iaitu Flotila Sumud Maghreb, Pergerakan Global ke Gaza, Gabungan Freedom Flotilla dan Sumud Nusantara.
Matlamat bersama mereka, Mansouri berkata adalah untuk "memecahkan sekatan haram ke atas Gaza melalui laut, mewujudkan koridor kemanusiaan dan menentang genosid yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin."
Konvoi pertama dijadualkan berlepas dari pelabuhan di Sepanyol pada 31 Ogos, diikuti oleh kumpulan kedua dari pelabuhan Tunisia pada 4 September.
Seif Abu Keshk, seorang lagi penganjur berkata lebih 6,000 aktivis mendaftar secara dalam talian untuk menyertai misi ini.
"Peserta akan menjalani latihan di lokasi pelepasan, dengan acara solidariti dan perkhemahan akan diadakan sepanjang laluan,.
"Inilah percubaan semula untuk memberi tekanan kepada kerajaan dunia dengan menghantar puluhan kapal dan ribuan aktivis bagi memecahkan sekatan ke atas Gaza," kata Abu Keshk. - BERNAMA-ANADOLU






Lebih banyak kisah lain
Ramai ahli keluarga yang memilih guru atau pensyarah sebagai kerjaya. Malah ada juga di antara mereka yang bertemu jodoh dengan seorang pendidik.
Kehebatan wirawati celoreng bomba
Dalam dunia oekerjaan yang penuh cabaran dan risiko, anggota bomba wanita membuktikan bahawa keberanian dan ketabahan tidak mengenal jantina.
Cabaran gen z bergelar ibu muda
Mereka ditakdirkan bertemu jodoh di usia yang dianggap mentah dan menyambut tangisan cahaya mata pertama ketika umur belum pun mencecah 23 tahun.
Gaji tak cukup tampung kos sara hidup
Kisah suka duka individu berusia satu abad yang masih sihat menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang. Mereka menyaksikan dan melalui perubahan zaman.
Jerat hutang beli dulu bayar kemudian
Kadar penggunaan skim BNPL di Malaysia semakin meningkat kerana mudah diluluskan dengan jumlah pengguna mencapai 10.3 juta orang pada 2024.
Legasi keluarga Sang Saka Biru
Tiga generasi keluarga mereka mengikut jejak kerjaya yang sama demi berkhidmat kepada tanah air, daripada datuk, anak dan cucu hinggalah menantu.
Rahsia moyang hidup lebih 100 tahun
Kisah suka duka individu berusia satu abad yang masih sihat menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang. Mereka melalui perubahan beberapa zaman.
Trend mati sendirian membimbangkan
Fenomena ramai warga emas di Jepun mati keseorangan dikhuatiri melanda Malaysia susulan trend hidup bersendirian dan tidak berkahwin.
Pada 2024 , kadar kes kanser dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah ialah enam kes bagi setiap 100,000 penduduk dan sebanyak 1,000 kes kanser kanak-kanak baharu dilaporkan.
Tak sanggup tunggu pencen 60 tahun
Tekanan kerja berlebihan dan keletihan emosi melampau menjadi antara punca utama jururawat hospital kerajaan mengambil keputusan bersara awal berbanding menunggu sehingga umur 60 tahun.
Bisnes sendiri, suri rumah poket tebal
Mereka ini hanyalah suri rumah namun bijak merebut peluang meningkatkan taraf hidup. Meskipun diusahakan secara kecil-kecilan, khidmat mereka juga mendapat permintaan pelanggan luar negara.
Penipuan pindah milik tanah persendirian semakin meruncing dengan kewujudan sindiket yang beroperasi menggunakan taktik licik dan mengeksploitasi kelemahan sistem pengurusan tanah.
Sinar Karangkraf Sdn Bhd
Lot 1 Jalan Renggam 15/5
Off Persiaran Selangor
Seksyen 15
40000 Shah Alam
Selangor, Malaysia
03-51017388
editorsh@sinarharian.com.my
Diterbitkan oleh Strategi Kandungan dan Perancang Media pada Ogos 2025
