10 KEJAYAAN UTAMA GRS
PRN Sabah: Misi Untuk Memperbaharui Mandat Rakyat
10 KEJAYAAN UTAMA GRS
PRN Sabah: Misi Untuk Memperbaharui Mandat Rakyat
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
PRN17 Sabah menyaksikan sebanyak 73 kerusi dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen.
Ketika parti politik lain sibuk menyusun janji untuk dicanang-canangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah terlebih dahulu membuktikan kejayaan pelbagai hasil kerja meskipun baharu lima tahun mentadbir negeri itu.
Antaranya rizab negeri meningkat kepada RM8.6 bilion, malah GRS berjaya menarik pelaburan melebihi RM35 bilion, memenangi tuntutan mahkamah berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah dan memastikan pentadbiran negeri kekal stabil tanpa drama politik.
Sehubungan itu, dalam memperbaharui mandat baharu pada PRN nanti, Hajiji dijangka kekal sebagai poster boy GRS yang membawa simbol kestabilan dan kecekapan pentadbiran bagi meneruskan kejayaan tersebut ke hadapan dengan rekod lebih cemerlang.
“Saya yakin kerajaan yang ada pada hari ini, kerajaan GRS dan PH ini akan diberi kepercayaan lagi oleh rakyat kita di Sabah. Ini berlandaskan track record yang telah kita buat, laksanakan pencapaian kejayaan kita dalam lima tahun ini”
Berikut 10 kejayaan utama kerajaan negeri diterajui Hajiji dan GRS sepanjang satu penggal mentadbir Sabah:
1
Penyertaan lebih besar dalam sektor minyak dan gas melalui pemeteraian bersejarah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada tahun 2021.
2
Rizab negeri cecah RM8.6 bilion pada 2024 iaitu tertinggi dalam sejarah.
3
Pendapatan negeri meningkat hampir dua kali ganda daripada RM3.59 bilion (2020) kepada hampir RM7 bilion (2024).
4
Keluaran dalam negeri (GDP) sekitar RM84.3 bilion pada 2024, naik daripada RM83.2 bilion pada 2023.
5
Nilai pelaburan domestik dan asing sejak 2021 berjumlah lebih RM35.38 bilion. Pada suatu suku pertama 2025, pelaburan diluluskan sekitar RM 10.9 bilion.
6 Pelaksanaan lebih 400 inisiatif di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dengan kira-kira 94 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan seperti:
- Subsidi one-off RM300 kepada pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini balik ke kampung masing-masing ketika musim perayaan.
- Bantuan tunai RM300 kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar di bawah Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR Sabah).
- Bantuan persekolahan seperti program BAIK, BAKTI, BISTARI, AKSA dan BAGUS.
- Peruntukan tahunan kepada semua badan keagamaan bukan Islam dan institusi pendidikan persendirian di Sabah daripada RM70 juta kepada RM90 juta.
- Bantuan Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.
7 Berjaya menaikkan kadar pemberian khas Sabah di bawah MA63 daripada RM53.5 juta kepada lebih RM300 juta mulai 2023.
8Kemenangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengarahkan Persekutuan mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah.
9 Mempercepat pelaksanaan 18 projek air utama termasuk Empangan Tawau dan Loji Papar, selain memajukan pakej baharu Lebuhraya Pan Borneo.
10
Hubungan baik dengan Persekutuan membolehkan negeri ini menerima peruntukan pembangunan tertinggi RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026.
Selain itu, menurut penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Lee Kuok Tiung, Dasar Perindustrian yang menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) dengan menyaksikan kemasukan kilang seperti SK Nexilis (Korea Selatan) dan Kibing (China) ke Sabah antara yang mula menunjukkan hasil.
Tambah beliau, pelaburan dari Esteel Enterprise yang berpangkalan di Singapura juga dijangka memasuki pasaran Sabah tidak lama lagi, menunjukkan negeri di bawah bayu itu maju di bawah pentadbiran GRS.
Jelasnya lagi, kesinambungan dasar yang berimpak tinggi itu tidak hanya menambah pendapatan negeri malah mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak watan Sabah.
“Bukan itu sahaja, isu bekalan air di Sabah yang melibatkan masalah loji rawatan air dan infrastruktur lama juga ada dibuat pembaikan. Cuma ramai tidak sedar paip-paip baharu dibina di tepi jalan yang selalu mereka lalui,” katanya.
Ditanya mengenai sama ada PRN kali ini menjadi referendum rakyat untuk menilai keberkesanan GRS, Kuok Tiung tidak menafikan bahawa dari segi legitimasi politik, masyarakat mempercayai kerajaan sekarang.
Bagaimanapun, beliau menambah, ukuran prestasi pentadbiran adalah berbeza-beza dan setiap individu menilai seseorang dengan kriteria serta skala berlainan.
Jelasnya lagi, terdapat parti atau gabungan politik yang cuba meraih sokongan dalam PRN kali ini bersandarkan kepada sumbangan yang pernah dilakukan dan legasi kepimpinan terdahulu.
“Pada hemat saya, GRS telah melakukan kerja yang baik dalam tempoh lima tahun ini. Saya percaya rakyat Sabah akan terus meletakkan kepercayaan mereka kepada GRS,” jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Pemuda GRS, Datuk Dr Jonnybone J Kurum berkata, rakyat perlu jelas bahawa GRS di bawah pimpinan Hajiji menyatupadukan parti-parti tempatan di Sabah memandangkan sebelum ini kesemuanya bertentangan dan bertelagah sesama sendiri.
Beliau berpandangan, situasi tikam-menikam antara satu sama lain hanya merugikan banyak pihak.
Justeru jelas Jonnybone, apabila Hajiji menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau menubuhkan GRS dan menghimpunkan semua parti-parti tempatan demi melihat peningkatan kestabilan politik di negeri berkenaan.
Kata beliau lagi, suara, sokongan dan kekuatan semuanya bermula dengan wujudnya kestabilan politik.
“Kali ini GRS bersedia menghadapi pelbagai naratif atau hujah daripada pihak pembangkang dan orang awam ditambah pula penggunaan media sosial tanpa sempadan.
“Situasinya pasti mencabar kerana sekarang orang boleh komen macam-macam dan buka akaun media sosial secara ‘anonymous’.
“Tetapi, saya mahu ingatkan kepada warga Sabah walaupun banyak naratif buruk berlegar di media sosial, teruskan menyokong GRS demi mengekalkan kestabilan politik agar rakyat terus menikmati manfaat di bawah pimpinan kerajaan Hajiji,” katanya.
