ENAM WANITA HEBAT GRS CALON PRN17

ENAM WANITA HEBAT GRS CALON PRN17

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mencalonkan enam wanita untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini membuktikan pengiktirafan terhadap keupayaan dan ketokohan kepimpinan golongan itu di Sabah.

Penganalisis Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, jumlah calon juga meningkat berbanding dua orang sahaja pada PRN sebelum ini memperlihatkan komitmen GRS yang peka dengan tuntutan inklusiviti dan representasi gender.

Menurutnya, ia sekali gus memperkasakan pemimpin wanita bagi memainkan peranan strategik sebagai penggerak akar umbi, penghubung masyarakat dan kelestarian politik.

"Wanita dalam GRS akan memperkukuhkan kepimpinan gabungan bagi menjuarai kemaslahatan rakyat Sabah," katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor pada 12 November lalu mengumumkan senarai 55 calon mewakili gabungan itu yang bertanding pada PRN17 dengan gandingan calon berpengalaman dan muka baharu termasuk wanita.

Datuk Julita Majungki

N05 Matunggong

“Saya fikir dengan kestabilan politik, negeri Sabah boleh menganjak pembangunan ke depan. Harapan saya kepada rakyat keseluruhannya supaya kita boleh melihat gambaran yang besar, mengatur pembangunan dengan lebih baik”

KELAHIRAN :
Matunggong, Kudat, Sabah

PENDIDIKAN :
Ijazah Sarjana Pengurusan Pembangunan, Asian Institute of Management (AIM) (2001)
Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan dalam Program Pengurusan Bandar dan Luar Bandar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1995)

KERJAYA :
Ahli Dewan Undangan Negeri N.05 Matunggong (2018-2025)
Pembantu Menteri Pembangunan Komuniti dan Kebajikan Rakyat (2020-2023)
Pembantu Menteri Kewangan (2023-2025)


POLITIK & MASYARAKAT :
Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (2022-2025)
Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Matunggong (2018-2025)
Ahli Jawatankuasa Pusat KDCA (2018-2025)

Datuk Redonah Bahanda

N06 Bandau

“Wanita adalah tulang belakang kekuatan parti. Kita bukan sekadar menyokong dari belakang, tetapi berdiri sebaris dalam perjuangan memastikan kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang telah membuktikan kemampuan membawa kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah”

KELAHIRAN :
Kudat, Sabah

PENDIDIKAN :
Sarjana Komunikasi Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM) (2013-2016)
Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM) (2002-2006)


KERJAYA :
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah

POLITIK & MASYARAKAT :
Timbalan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (2023-2025)
Ketua Penyelaras Wanita Gabungan Rakyat Sabah Bandau (2024-2025)
Ketua Wanita Rakyat Sabah (2023-2025)
Ketua Penyelaras Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Zon 1 Parlimen Kudat dan Kota Marudu (2024-2025)
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Bandau (2023-2025)

Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana

N53 Sekong

“Kesetiaan serta kefahaman rakyat terhadap usaha pembangunan yang dibawa GRS sejak empat tahun lalu turut meyakinkan mereka”

KELAHIRAN:
Lahad Datu, Sabah

PENDIDIKAN :
Executive Bachelor in Public Administration (2023)
Executive Diploma in Political Science (2018)

KERJAYA :
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama

POLITIK & MASYARAKAT :
Ahli Majlis Tertinggi Bajau Sama Sabah
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Silam

Datuk Mizma Appehdullah

N62 Silam

“Tumpuan saya lebih kepada generasi muda tanpa meminggirkan pengundi lama”

KELAHIRAN :
Lahad Datu, Sabah

PENDIDIKAN :
Executive Bachelor in Public Administration (2023)
Executive Diploma in Political Science (2018)


KERJAYA :
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama

POLITIK & MASYARAKAT :
Ahli Majlis Tertinggi Bajau Sama Sabah
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Silam

Datuk Norazlinah Arif

N63 Kunak

“Harapan saya cuma satu, Kunak tidak lagi dipandang sebelah mata. Kunak juga berhak maju seperti daerah lain di Sabah”

KELAHIRAN :
Kunak, Sabah

PENDIDIKAN :
Master in Management North Borneo University College (NBUC) (2003)
Ijazah Sains Sosial Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Malaya (UM) (2001)


KERJAYA :
Ahli Dewan Undangan Negeri N63 Kunak (2020-2025)
Ahli Dewan Undangan Negeri N63 Kunak (2018-2020)
Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (2017-2018)
Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran Mewah Datu Sdn. Bhd POIC Lahad Datu


POLITIK & MASYARAKAT :
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Bahagian Kunak

Samsiah Usman

DUN N70 Kukusan

“Jalan telah ALLAH bukakan, semoga peluang ini menjadi satu batu loncatan kepada saya untuk memperbaiki diri dan berkhidmat kepada rakyat”

KELAHIRAN :
Balung, Sabah

PENDIDIKAN :
Diploma Pengurusan, Open University Malaysia (OUM)

KERJAYA :
Tawau Carparks Sdn Bhd (2019-Kini)
Pegawai Luar Khas, JASA (2007-2018)
Penolong Pegawai Tanah NT27, JKPTG (2007)


POLITIK & MASYARAKAT :
Timbalan Ketua Wanita PHRS Pusat
Ketua Bahagian PHRS N.70 Kukusan
Ketua Penyelaras Wanita GRS N. 70 Kukusan

Wanita teliti dalam urus tadbir

Tambah Profesor Dr Kartini, inisiatif GRS membuka lebih banyak peluang penglibatan gender dalam PRN sebagai calon merupakan tindakan progresif yang perlu terus diperkukuh.

"Calon wanita lazimnya mengamalkan politik kolaboratif dan empati. Ini akan memberi kelebihan kepada mereka untuk meraih undi wanita dan golongan muda.

"Jika GRS konsisten membuka ruang dan peluang kepada calon wanita, dari segi jangka panjang, ia akan merubah budaya politik serta etika kerja. Wanita terkenal dengan ketelitian yang akan memberi kelebihan dalam urus tadbir negara.

"Apatah lagi jika calon wanita itu mempunyai pengalaman teknokrat, aktivis badan bukan kerajaan (NGO) dan profesional, pengundi akan melihat mereka bukan sahaja pelengkap kuota tetapi bakal pemimpin yang berwibawa, berilmu serta berpengalaman," ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berpendapat, kepimpinan wanita GRS bukan dilihat sebagai persaingan tetapi soal dasar kepekaan terhadap politik Sabah.

"Saya percaya bahawa langkah ini bukan sekadar simbolik tetapi pengiktirafan terhadap keupayaan, ketokohan dan nilai kepimpinnan wanita dalam arus pembangunan negeri Sabah," katanya.